Kentucky sedia sambut besar-besaran ‘kepulangan’ Muhammad Ali

Kentucky sedia sambut besar-besaran ‘kepulangan’ Muhammad Ali

Jenazah legenda tinju dunia itu akan disemadikan di pusat perkuburan Cave Hill, Louisville, bandar kelahiran beliau.

muhammad-ali-3
KENTUCKY, AS: Jenazah Muhammad Ali tiba di kampung halamannya di Louisville, Kentucky, AS, di mana perarakan besar-besaran akan diadakan bagi mengenang legenda tinju itu.

Bekas presiden, Bill Clinton dan bintang komedi Billy Crystal merupakan antara orang kenamaan dijangka berucap pada sebuah majlis mengenang Muhammad Ali di sebuah stadium di Kentucky Jumaat ini.

Ali meninggal dunia Jumaat lalu pada usia 74 tahun selepas bertahun-tahun menghidap penyakit Parkinson’s.

“Ali sudah pulang,” kata Datuk Bandar Louisville, Greg Fischer dalam kiriman Twitter.

Jet persendirian yang membawa jenazah Ali, ditemani anggota keluarga, tiba dari Arizona, sebelum dibawa kenderaan jenazah ke sebuah rumah pengurusan jenazah, di mana peminat sudah mula berkumpul.

Sebelum itu, upacara melibatkan penganut pelbagai agama diadakan di Pusat Islam Louisville bagi memperingati Ali.

Fischer memberitahu AFP, bandar raya Kentucky kini siap sedia mengadakan perayaan besar-besaran memperingati Ali.

“The Champ (jaguh) seorang tokoh yang merentasi pelbagai sempadan, dari sukan hingga kesenian, aktiviti kemanusiaan, hitam mahupun putih, Kristian mahupun Islam, beliau milik dunia,” katanya.

“Orang ramai akan berpusu-pusu dari serata tempat.”

Majlis khas untuk Ali akan diadakan Khamis ini disertai keluarga dan saudara mara, disusuli perarakan jenazahnya di Louisville. Jenazahnya dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Cave Hill.

Terdahulu, ucapan pujian mencurah-curah dari pemimpin politik, tokoh sukan, selebriti dan peminat.

“Muhammad Ali paling hebat,” kata Presiden Barack Obama.

“Perlawanannya di luar gelanggang menyebabkan anugerahnya ditarik balik. Beliau dimusuhi kiri kanan, dibenci dan hampir dipenjarakan. Tetapi Ali tetap dengan pendiriannya,” kata Obama.

Kata-kata pujian juga diucapkan Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif, dengan menggelar Ali “Paling hebat di dalam gelanggang dan juga di dalam perjuangan menuntut keadilan, harga diri dan keamanan.”

– AFP

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.