Perwakilan parti itu juga setuju agar PSM bertanding lebih banyak kerusi pada PRU akan datang, berbanding satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi DUN pada PRU lalu.
Setiausaha Agung PSM A Sivarajan berkata PSM sememangnya mengalu-alukan penubuhan sebuah pakatan pilihan raya (electoral pact) yang utuh di kalangan parti pembangkang.
“Kita memang ingin menyertai kerjasama dalam pilihan raya, jika parti pembangkang dapat mewujudkan gabungan yang bagus dengan satu logo.
“Jika keadaan masih seperti sekarang, PSM akan bergerak sendiri dan malah setuju untuk bertanding di lebih sepuluh10 kerusi,” katanya ketika ditemui di Kongres Nasional PSM hari ini.
Berhubung penambahan kerusi, beliau memaklumkan PSM mempunyai beberapa kawasan berserta calon yang berpotensi – antaranya kawasan Parlimen Cameron Highlands dan Subang – dan dalam peringkat terakhir sebelum memuktamadkannya.
Walaupun tidak menjadi komponen rasmi Pakatan Rakyat, PSM bekerjasama dengan pakatan itu pada PRU13, malah calonnya yang bertanding di Sungai Siput dan Kota Damansara menggunakan logo PKR.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM Dr Michael Jeyakumar menggesa perwakilan agar terus berusaha mendekatkan parti itu dengan rakyat, apatah lagi menurutnya mereka bosan dengan BN dan Pakatan Harapan.
“Tengok saja calon Presiden Amerika Syarikat Bernie Sanders, ramai terkejut dengan sokongan besar yang diterimanya. Begitu juga dengan Jeremy Corbin (yang menjadi Ketua Parti Buruh United Kingdom selepas memenangi pilihan raya parti tahun lalu).
“Ini kerana rakyat di sana sudah bosan dengan ahli politik yang biasa. Mungkin rakyat Malaysia juga sudah sedia menerima politik kita yang membawa isu rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar setiap perwakilan menyahut cabaran itu dengan menonjolkan PSM sebagai parti akar umbi kepada warga Malaysia.