ALOR SETAR: Keadaan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang dikejarkan ke Kedah Medical Centre (KMC) malam tadi selepas pitam kini stabil, namun agak lemah menurut setiausaha politiknya Datuk Shaiful Hazizy Zainal Abidin.
Beliau berkata, Ahmad Bashah hanya mengalami sedikit keletihan dan pening sebelum pitam dan dikejarkan ke pusat perubatan itu.
“Beliau tidak pengsan dan jatuh, cuma pitam sedikit. Keadaan beliau kini stabil dan masih dalam pemantauan pihak hospital,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan KMC.
Ahmad Bashah sebelum itu menghadiri mesyuarat bersama ADUN BN di Hotel Grand Alora jam 7 malam semalam, dan dikejarkan ke hospital kira-kira 7.15 malam.
Sementara itu, Shaiful berkata kenyataan rasmi akan dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Bakar Din, hari ini.
–BERNAMA
