AMANAH beri BN kelebihan menang Sungai Besar – Rani Osman

AMANAH beri BN kelebihan menang Sungai Besar – Rani Osman

Kalau betul-betul hendak jatuhkan UMNO/BN, AMANAH tidak perlu bertanding di kerusi tradisi PAS.

Dr-Abdul-Rani-Osman

SUNGAI BESAR:
Fokus PAS dalam misi untuk menjatuhkan UMNO/BN sedikit terjejas apabila Pakatan Harapan (PH) melalui AMANAH meletakkan calonnya Azhar Abdul Shukur bertanding di PRK Sungai Besar.

Calon PAS, Dr Abdul Rani Osman berkata jika PH juga mempunyai hasrat yang sama untuk menjatuhkan sekali gus merampas kerusi Parlimen yang dimenangi BN, AMANAH tidak perlu bertanding.

“Fokus kita menjatuhkan UMNO/BN dan sesiapa saja. Kalau dia betul-betul nak jatuhkan, AMANAH tidak perlu bertanding di kerusi tradisi PAS itu sendiri.

“Apabila masuk campur di Sungai Besar, itu akan berikan kelebihan kepada UMNO dan BN di Sungai Besar,” katanya pada sidang media di Markas PAS, di Simpang Lima hari ini.

Bagaimanapun, ADUN Merus itu berkata tahaluf siyasi antara PAS dan PKR dalam pentadbiran negeri Selangor masih wujud dan beliau sendiri masih berkawan dengan pemimpin PKR.

“Tidak timbul masalah kerana apa yang berlaku di Selangor ini berbeza dengan negeri lain. Kita masih meneruskan Pakatan Rakyat (PR).

“Daripada segi individu kita masih berkawan, tetapi kalau sudah difitnah kerana baik dengan PAN, itu tidak betul dan bukannya politik matang,” katanya.

Beliau berkata PAS yakin parti Islam itu akan berjaya menawan hati pengundi Sungai Besar walaupun rekod tiga penjuru lebih berpihak kepada BN.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Samad berkata pertandingan tiga penjuru ini bukti kematangan politik di Malaysia.

“Saya lihat ini bukan satu masalah, ini adalah ujian kematangan politik di Malaysia.

“Ia sudah berlaku di negara lain seperti di United Kingdom, sudah terbentuknya kerajaan campuran antara dua parti pada 2005 hingga 2010.

“Jadi tidak ada masalah kalau kita benar-benar matang dan kalau kerajaan terus berjalan walaupun bertembung di peringkat PRK,” katanya pada sidang media sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.