Kereta itu diletakkan di depan kedai berkenaan sejak 2 petang tadi, sebelum dua budak lelaki itu, yang berusia dalam lingkungan 11 hingga 12 tahun, menghidupkan enjinnya.
Seorang pekerja kedai telekomunikasi itu, Nurul Nadira Abu Hassan, 23, berkata kejadian berlaku kira-kira 3.20 petang apabila beliau dan seorang lagi pekerja sedang melayan pelanggan di situ.
“Kemudian, kami dengar bunyi enjin yang kuat, seperti orang tekan pedal minyak. Selepas itu, kereta tersebut merempuh kedai sehingga mengakibatkan separuh daripada badan kereta berada di dalam kedai,” katanya.
Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Zainuddin, 40-an, berkata ketika kejadian, beliau berada berdekatan kedai itu sebelum terdengar bunyi dentuman amat kuat.
Sejurus selepas itu, beliau melihat dua budak lelaki yang ketakutan keluar daripada kereta itu sambil memanggil ibu mereka, yang berada di tingkat atas kedai itu kerana dipercayai sedang membuat rawatan muka.
“Ibu mereka kemudian bergegas turun dan terkejut melihat kereta itu sebelum mematikan enjinnya.
“Apa yang kita tahu, ibu mereka meminta anaknya menghidupkan enjin kereta sementara menunggu dia turun…tapi macam ini pula jadinya,” kata Zainuddin.
Pengurus kedai berkenaan Md Shaifon Nizam Ahmad berkata beliau mengetahui mengenai kejadian itu kira-kira 3.30 petang daripada pekerja yang menelefonnya.
Katanya, kerugian dianggarkan lebih RM20,000 akibat kerosakan teruk pada cermin utama dan perabot serta dinding kedai berkenaan dan menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jinin berkata kes berlaku apabila pemandu iaitu ibu budak lelaki berkenaan, ingin mengundurkan kenderaan tetapi tertekan pedal minyak.
“Pada masa sama, anak pemandu yang berada di tempat duduk depan tertolak gear kenderaan menyebabkan kenderaan itu bergerak ke depan dan melanggar pintu kaca dan cermin kedai telekomunikasi terbabit.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan saksi untuk membantu siasatan,” katanya.
–BERNAMA