‘Budak-budak yang kita angkut tu budak dadah’ – Ku Nan

‘Budak-budak yang kita angkut tu budak dadah’ – Ku Nan

Tengku Adnan menjelaskan DBKL hanya membantu AADK dengan meminjamkan lori atau van untuk Operasi Menyelamat Penagih Dadah.

Tengku-Adnan_penagih-dadah_dbkl_600

KUALA LUMPUR:
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjelaskan, gelandangan yang diangkut menggunakan lori Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada bulan lalu adalah penagih dadah.

“Bila Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) minta kita bantu, kita akan beri kita punya lori ataupun van. Nampak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dia kata DBKL, padahal budak-budak yang kita angkut tu budak dadah.

“Janganlah kamu viral benda yang bukan-bukan. Inilah masalah kamu semua,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Penggunaan Produk Biodegradasi di Pasar Raja Bot hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan sekumpulan gelandangan diangkut DBKL pada lewat malam sebelum ditinggalkan di beberapa tempat di luar ibu kota seperti Rawang serta Lebuhraya Karak pada 22 Mei lalu.

Semalam, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan dilaporkan sebagai berkata, Operasi Menyelamat Penagih Dadah pada 22 Mei lalu itu diketuai AADK Daerah Dang Wangi Kuala Lumpur.

“DBKL telah diminta untuk membantu dan menyediakan dua buah lori dan petugas-petugas daripada Pejabat Cawangan Bukit Bintang untuk operasi tersebut,” kata Loga Bala.

Dalam perkembangan lain, Ku Nan yang juga Setiausaha Agung BN turut ditanya peluang parti itu memenangi PRK Kuala Kangsar pada 18 Jun ini, sekalipun Datin Mastura Mohd Yazid tidak dapat menyertai kempen mulai Ahad ini kerana masih dalam tempoh edah selama empat bulan 10 hari.

“Kita memang menang,” jawabnya ringkas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.