
Agensi itu dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, tindakan memindahkan golongan gelandangan adalah di luar bidang kuasanya.
“Pada 21 dan 22 Mei lalu, AADK Daerah Dang Wangi melaksanakan Ops Selamat secara bersepadu bersama beberapa agensi lain bagi mengesan dan menahan penagih dadah serta lain-lain pesalah mengikut bidang kuasa agensi masing-masing.
“Agensi yang terlibat termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya yang menafikan laporan beberapa portal mendakwa AADK terlibat dalam tindakan memindahkan gelandangan ke beberapa lokasi pada bulan lalu.
Sekumpulan gelandangan dilaporkan mendakwa diangkut DBKL pada lewat malam sebelum ditinggalkan di beberapa tempat di luar ibu kota, seperti Rawang serta Lebuhraya Karak pada 22 Mei lalu.
Semalam, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan turut menyangkal dakwaan DBKL telah mengangkut dan meninggalkan gelandangan di beberapa lokasi di luar ibu kota pada bulan lalu.
Loga Bala berkata, AADK yang bertanggungjawab mengetuai operasi itu perlu menjelaskan isu berkenaan.
Sementara itu, dalam Ops Selamat itu seramai 81 orang ditahan di bawah Seksyen 3(1) dan 8(3) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selepas ujian air kencing mereka didapati positif dadah.
“Mereka ini ada yang dihantar ke pusat pemulihan dan ada yang dibebaskan melalui jaminan,” menurutnya.
AADK menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti penagihan dadah supaya membuat aduan menerusi e-mail [email protected] atau hubungi Unit Media dan Komunikasi Korporat di talian 03-8911 2424.