Menantu TPM meninggal akibat komplikasi di klinik pergigian

Menantu TPM meninggal akibat komplikasi di klinik pergigian

Allahyarham tidak pernah menerima rawatan pergigian di PPUM dan beliau juga tidak berada di PPUM untuk menjalani pembedahan ketika kejadian.

syed

PETALING JAYA:
Menantu Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi meninggal dunia akibat komplikasi ketika menjalani rawatan di sebuah klinik pergigian di Bangsar, semalam.

Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin yang dipetik Sin Chew Daily sebagai berkata, Allahyarham tidak pernah menerima rawatan pergigian di pusat perubatan itu dan beliau juga tidak berada di PPUM untuk menjalani pembedahan ketika kejadian.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, Syed Alman Zain dihantar ke PPUM selepas mengalami komplikasi ketika berada di klinik pergigian di Bangsar.

“Sesetengah laporan yang tidak benar telah menimbulkan kekeliruan di kalangan orang ramai dan mendatangkan kesan negatif terhadap PPUM,” katanya.

Syed Alman Zain dilaporkan pergi ke sebuah klinik pergigian di Bangsar kira-kira jam 6 petang semalam untuk mendapatkan rawatan gigi bersama seorang rakannya sebelum tidak sedarkan diri.

Menurut seorang ahli keluarga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Allahyarham dikejarkan ke PPUM dan disahkan meninggal dunia.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal Luar di Kajang kira-kira jam 10 pagi tadi.

Allahyarham yang berusia 44 tahun meninggalkan seorang isteri, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid, 37, dan tiga anak iaitu Arjuna Iskandar, Zaheed Alwi dan Khadeeja Sofea.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.