Siapa kata bantah hudud adalah satu dosa? – Prof Abdullahi

Siapa kata bantah hudud adalah satu dosa? – Prof Abdullahi

Prof Abdullahi menjelaskan, tiada ayat atau hukum dalam al-Quran yang memaksa seseorang itu menerima hudud.

Professor-Abdullahi-A-An-Na’im

KUALA LUMPUR:
“Siapa kata bantah hudud adalah satu dosa?”

Demikian soal Abdullahi A An-Na’im yang merupakan profesor undang-undang di Universiti Emory di Atlanta, Georgia dalam satu temu bual anjuran G25 di ibu negara hari ini.

Prof Abdullahi yang berasal dari Sudan itu menjelaskan, tiada ayat atau hukum dalam al-Quran yang memaksa seseorang itu menerima hudud.

“Ia sekadar spekulasi. Jika hudud berasal daripada al-Quran, tolong tunjuk kepada saya ayat itu sekarang.

“Sifat negara di mana kita tinggal hari ini adalah sebuah negara bangsa, di mana semua rakyat adalah sama.

“Oleh itu, kerajaan perlu melaksanakan undang-undang tunggal terhadap semua rakyat secara sama rata.

“Undang-undang perlu diluluskan Parlimen melalui proses demokratik dalam sebuah negara sekular. Dengan cara ini, ia boleh diubah jika tidak berfungsi,” katanya.

Jelasnya, “jenayah” sama sekali tidak sama dengan “dosa” dan hukumannya juga berbeza.

Abdullahi turut berpendapat, satu “tindakan” tidak patut dilabelkan sebagai jenayah atas alasan agama melarang perbuatan itu.

Khamis lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan RUU persendirian bagi meminda Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1964 yang juga dikenali sebagai Akta 355 untuk menyebut Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah jadual kesembilan Undang-undang Persekutuan.

Abdul Hadi berkata, ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A yang menyebut dalam melaksanakan undang-undang jenayah di bawah seksyen tersebut, Mahkamah Syariah mempunyai hak untuk menjatuhkan hukuman berkaitan kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen berkenaan selain hukuman mati.

RUU itu pada awalnya disenaraikan sebagai agenda terakhir dalam Peraturan Mesyuarat untuk dibahaskan dalam sesi Dewan Rakyat sehingga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said mengusulkan ia dipercepatkan supaya sempat dibahas wakil rakyat dan kemudiannya disokong Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Sekalipun telah menerima lampu hijau daripada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Hadi kemudiannya memohon pembentangan RUU itu ditangguhkan sehingga sidang Parlimen berikutnya pada Oktober nanti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.