Ahli Parlimen Santubong itu berkata, Mahfodz barangkali ‘berhubung sendiri dengan Tuhan’ sehingga boleh membuat tohmahan sedemikian.
“Nampaknya dia menghubungi Allah secara terus, barangkali sebab itu dia lebih tahu. Kami tidak berhubung dengan Allah, panduan kami hanya Al-Quran dan hadith Rasulullah,” katanya sinis ketika dihubungi FMT.
Mahfodz dalam ucapan perasmian Muktamar Dewan Ulama’ PAS di Tok Bali, Kelantan semalam berkata parti pemerintah di Sarawak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) meneruskan ‘pemahaman penjajah’ terhadap Islam.
“Fahaman yang salah ini disambung oleh UMNO dan suku-sakatnya seperti PBB di Sarawak sehingga menjadikan orang Melayu sendiri tidak melaksanakan cara hidup Islam yang sebenar, kerana dikongkong oleh kejahilan agama yang menebal,” katanya menurut laporan FMT hari ini.
Pembantu Khas Pengerusi DAP Sarawak, Abdul Aziz Isa pula berkata Mahfodz tidak berhak menuduh orang Islam Sarawak tidak berpegang kepada ajaran agama yang sebenar.
“Kata-kata sebegitu tak sepatutnya keluar dari mulut seorang ulama’. Kalau begitu berhentilah jadi ahli politik dan jadi pendakwah sepenuh masa di sini,” katanya.
Berbeza dengan Semenanjung, katanya lagi, warga Sarawak tidak mengamalkan politik assabiyah (kepuakan) yang jelas dilarang Islam.
“Adakah assabiyah ini digalakkan oleh Islam? Janganlah nampak kuman di seberang laut sahaja, dan buat-buat tak nampak gajah di depan mata,” katanya lagi.
Sementara itu, Setiausaha PAS Sarawak, Mukhtar Suhaili menyifatkan kenyataan Mahfodz tersebut dibuat atas niat mengajak masyarakat kembali kepada ajaran Islam yang syumul (menyeluruh).
“Dan memang itulah perjuangan PAS, termasuk di Sarawak, untuk mengajak masyarakat tanpa mengira fahaman politik mengamalkan Islam dalam segenap aspek kehidupan,” katanya yang tidak menganggap kenyataan tersebut akan menyukarkan lagi usaha PAS untuk mendapat sokongan di negeri itu.
