Dewan Ulama PAS kecam aktiviti LGBT dibiarkan

Dewan Ulama PAS kecam aktiviti LGBT dibiarkan

Mahfodz mendakwa UMNO dan PBB turut menyokong fahaman salah sehingga menjadikan orang Melayu tidak menjalani cara hidup Islam sebenar kerana dikongkong kejahilan agama yang menebal.

Dr-Mahfodz-Mohamed

PASIR PUTEH:
Negara sedang dilanda krisis apabila aktiviti golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dibenarkan atas nama hak asasi manusia.

Ketuanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, tindakan mencontohi pembangunan gaya barat dan kepimpinan sekular telah menyebabkan penghakisan moral di kalangan rakyat negara ini.

Katanya, ia termasuk tindakan kumpulan hak sivil seperti G25 dan Gabungan NGO Hak Asasi Manusia Malaysia (COMANGO) untuk membangkitkan perkara itu kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Jelasnya, Dewan Ulama PAS Pusat turut mengutuk tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang yang memberi pengiktirafan kepada golongan LGBT, selepas membenarkan Jawatankuasa Transgender mengadakan mesyuarat pertamanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 17 Mei lalu.

Katanya, sehingga kini belum ada negeri yang memberi pengiktirafan sedemikian kepada golongan itu kecuali Pulau Pinang.

“Dewan Ulama PAS mengutuk semua sokongan yang bernuansa budaya kaum Lut ini. Dewan Ulama PAS juga menyeru seluruh ulamak haraki bahawa mereka wajib memimpin masyarakat untuk menafsirkan Islam secara ilmu dan amal dengan membebaskan khurafat warisan penjajah.

“Fahaman yang salah ini disambung oleh UMNO dan suku-sakatnya seperti PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) di Sarawak sehingga menjadikan orang Melayu sendiri tidak melaksanakan cara hidup Islam yang sebenar kerana dikongkong kejahilan agama yang menebal,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS ke-55 di Tok Bali, malam tadi.

Sehubungan itu, Dewan Ulama PAS bertekad mendekati golongan LGBT melalui pendekatan Islam supaya mereka kembali ke pangkal jalan dan bersama dalam perjuangan PAS.

“Maka kita perlu mendampingi semua kelompok termasuklah kelompok LGBT supaya mereka dapat bersama PAS untuk diberikan kefahaman Islam yang sebenarnya,” katanya.

Jawatankuasa Transgender Pulau Pinang yang dilobi ADUN Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu sejak tujuh tahun lalu akhirnya ditubuhkan selepas mendapat persetujuan wakil rakyat lain.

Selain Yee Cheu yang dilantik sebagai pengerusi sementara, jawatankuasa itu turut dianggotai Lim Siew Khim (DAP-Sungai Pinang), Cheah Kah Peng (PKR-Kebun Bunga), Norlela Ariffin (PKR-Penanti), Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubok), Jahara Hamid (BN-Teluk Ayer Tawar), Shariful Azhar Othman (BN-Bertam), Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN-Sungai Dua) dan Salleh Man (PAS-Permatang Pasir).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.