“Anda tak lihatnya, anda tak rasanya. Namun satu hari nanti, anda akan bangun dan mendapati diri berada dalam keadaan lebih Islam daripada yang pernah anda bayangkan.
“Jika anda mahu lakukan, buatlah secara terbuka dengan pemahaman jelas di mana orang ramai boleh berdebat, terima atau tolak secara bebas,” kata Abdullahi A An-Na’im, profesor undang-undang dari Universiti Emory di Atlanta, Georgia itu dalam satu temu bual anjuran G25 hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas usul meminda Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1964 yang juga dikenali sebagai Akta 355 untuk menyebut Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah jadual kesembilan Undang-undang Persekutuan.
Usul itu juga untuk memasukkan Seksyen 2A yang menyebut dalam melaksanakan undang-undang jenayah di bawah seksyen tersebut, Mahkamah Syariah mempunyai hak untuk menjatuhkan hukuman berkaitan kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen berkenaan selain hukuman mati.
Beliau berkata, adalah pelik apabila hudud menetapkan hukuman mati dan beliau tertanya-tanya jika pengecualian hukuman mati adalah berdasarkan definisi hudud oleh PAS.
“Jadi anda menakrifkan semula hudud daripada cara kewujudannya untuk kepentingan politik anda sendiri,” kata ulama kelahiran Sudan itu.
Di sesetengah kawasan di Timur Tengah yang melaksanakan hukum hudud, hukuman mati dijatuhkan ke atas penzina dan mereka yang murtad.
PAS cuba melaksanakan hudud di Kelantan. Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mengusulkan satu Rang Undang-undang Persendirian untuk meminda bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah yang akan memberi laluan kepada undang-undang penuh kontroversi itu dilaksanakan di negeri Pantai Timur terbabit.