Tak adil salahkan saya seorang- Palanivel

Tak adil salahkan saya seorang- Palanivel

Palanivel berkata beliau sudah buat yang termampu untuk menyelesaikan masalah itu ketika menjadi Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

palanivel

KUALA LUMPUR:
“Tidak adil menyalahkan saya seorang berhubung kegiatan penerokaan tanah haram di Cameron Highlands!”

Demikian tegas Bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G Palanivel mengulas kecaman Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menyifatkan beliau tidak berbuat apa-apa ketika memegang portfolio itu dahulu.

Palanivel yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands berkata, beliau telah melakukan yang termampu ketika menjadi menteri dahulu.

“Saya sudah selesaikan (masalah itu), tetapi ada penerokaan baharu. Sebelum sempat saya banteras sepenuhnya, saya sudah digugurkan daripada kabinet,” katanya yang turut mendakwa seterunya dalam MIC, Datuk Seri S Subramaniam sebagai punca penggugurannya.

“Beliau (Wan Junaidi) juga perlu melaksanakan tanggungjawabnya, bukan saya seorang tanggung semua masalah. Kita satu keluarga dalam BN,” katanya yang memegang portfolio tersebut selama dua tahun.

Wan Junaidi juga berkata Palanivel hanya ‘berlagak pandai’ selepas digugurkan daripada jawatan menterinya, terutama berhubung dakwaannya bahawa masalah itu sukar diselesaikan kerana didalangi ‘individu dan kumpulan berpengaruh’.

Ekoran dakwaan Palanivel itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim pula menggesa beliau agar melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketika ditanya berhubung perkara itu, beliau kelihatan keberatan untuk mengulas mengenainya sekali gus menolak cadangan Irmohizam dan berkata akan berbincang dengan ‘pihak yang relevan’.

“Saya akan terus melawat Cameron Highlands dan berbincang dengan pihak bertanggungjawab yang relevan seperti ADUN dan Pejabat Pegawai Daerah. Kemudian barulah kita akan menentukan langkah seterusnya,” kata bekas Presiden MIC itu lagi.

Beliau juga menyatakan keterbukaannya untuk bertemu dengan Wan Junaidi bagi berbincang mengenai perkara itu.

Ekoran penerokaan haram, beberapa tragedi banjir kilat berlaku di Cameron Highlands dengan insiden terbaru terjadi awal pagi semalam.

Insiden itu antara lain menyebabkan jambatan yang menghubungkan kampung orang asli runtuh dan tiga buah kereta dihanyutkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.