Keahlian Syed Rosli gugur automatik jika lawan calon BN

Keahlian Syed Rosli gugur automatik jika lawan calon BN

Syed Rosli berkata, beliau sedia dipecat UMNO.

Annuar-musa-syed-rosli

KUALA LUMPUR:
Keahlian UMNO Syed Rosli Jamalullail akan gugur secara automatik sekiranya beliau meneruskan hasratnya untuk bertanding sebagai calon Bebas pada PRK Kuala Kangsar.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, ini kerana beliau berhasrat menentang calon BN.

“Semua orang mempunyai hak dalam perlembagaan, sesiapa yang nak bertanding di mana-mana juga boleh.

“Cuma dalam UMNO kita ada peraturan, iaitu mana-mana ahli UMNO yang bertanding menentang calon (BN) maka keahliannya akan gugur secara automatik,” katanya sewaktu ditemui di Ibu Pejabat UMNO hari ini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Ketereh itu tidak menghalang mana-mana individu untuk bertanding, termasuk Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka itu.

Hal ini kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan sesiapa juga berhak menjadi calon pada pilihan raya.

“Kita tidak menghalang siapa sahaja mahu bertanding,” katanya lagi.

Sementara itu, Syed Rosli ketika dihubungi FMT sebentar tadi menyuarakan kesediaannya untuk dipecat UMNO.

Pagi tadi, Syed Rosli melalui Facebooknya mengumumkan akan bertanding pada PRK Kuala Kangsar, gara-gara beliau kecewa dengan tindakan BN menurunkan Datin Mastura Mohd Yazid di Parlimen berkenaan.

“Saya selaku ahli UMNO berasa amat kecewa dengan kepimpinan parti kerana gagal meletakkan calon anak tempatan yang jauh layak daripada Mastura yang dicalonkan.

“Saya selaku anak jati Kuala Kangsar merasakan kedua calon dari PAS dan BN yang bukan anak tempatan, ini sudah semestinya gagal memahami apa kehendak dan keperluan rakyat Kuala Kangsar,” tulisnya di Facebook beliau pagi tadi.

Semalam, Syed Rosli menggesa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menukar calon PRK Kuala Kangsar kerana merasakan pemilihan Mastura hanya memberi kelebihan kepada PAS.

Beliau turut memuat naik beberapa status agak keras di laman Facebooknya yang dilihat sebagai tanda protes terhadap pemilihan Mastura sebagai calon BN di Kuala Kangsar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.