Bila hospital di Iskandar Malaysia akan dibina?

Bila hospital di Iskandar Malaysia akan dibina?

Pembinaan dua hospital itu sangat penting kerana hospital sedia ada di Johor dilihat tidak dapat menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.

Teo-Nie-Ching

PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa supaya menyatakan pendirian mereka sama ada masih ingin meneruskan pembinaan dua hospital di Iskandar Malaysia atau tidak.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata pembinaan dua hospital itu sangat penting kerana hospital sedia ada di Johor dilihat tidak dapat menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.

“Saya menyokong cadangan kerajaan negeri kerana hospital kerajaan memberikan rawatan percuma kepada semua khususnya rakyat Johor yang kini terbeban dengan kos sara hidup yang semakin menekan.

“Pada ketika ini banyak hospital swasta di dalam Wilayah Iskandar Malaysia, jadi sudah sampai masanya kerajaan pusat menambah dua lagi hospital kerajaan di sini untuk kegunaan dan kemudahan rakyat,” katanya.

Teo berkata demikian susulan kenyataan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini berhubung kerajaan negeri memohon pembinaan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Dua di atas tapak milik KKM di Tampoi dan Pasir Gudang.

Ini berikutan tiga hospital kerajaan di kawasan Iskandar Malaysia termasuk HSA Johor Bahru, Hospital Sultan Ismail dan Hospital Temenggong Sri Maharaja Tun Ibrahim Kulai, sudah tidak mampu menampung jumlah pesakit yang semakin ramai.

“Jadi, saya ingin tahu sama ada KKM akan melaksanakan cadangan kerajaan negeri Johor itu atau tidak,” katanya.

Pada 2014, kerajaan negeri Johor memohon untuk membina dua hospital kerajaan di kawasan Iskandar Malaysia di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) bagi menampung keperluan penduduk yang semakin padat.

“Keperluan hospital kerajaan di kawasan Iskandar ini merupakan keutamaan kita kerana HSA tidak mampu menampung jumlah pesakit yang semakin ramai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.