17 subsektor perkhidmatan diberi kelonggaran ambil PATI

17 subsektor perkhidmatan diberi kelonggaran ambil PATI

Sebelum ini, hanya lima subsektor perkhidmatan dibenarkan berbuat demikian iaitu tukang masak, pembersihan dan pencucian, pulau peranginan, spa dan refleksologi serta hotel.

jazlan

PUTRAJAYA:
Sebanyak 17 subsektor dalam bidang perkhidmatan diberi kelonggaran untuk mengambil pekerja asing tanpa izin (PATI).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, sebelum ini hanya lima subsektor perkhidmatan dibenarkan berbuat demikian iaitu tukang masak, pembersihan dan pencucian, pulau peranginan, spa dan refleksologi serta hotel.

Subsektor yang kini diberi kelonggaran itu ialah kedai, taman tema, dobi, tukang gunting rambut, perniagaan borong dan runcit, perniagaan tekstil, tukang emas, rumah kebajikan, pekerja am di bengkel, tempat cuci kereta, pasar, kedai serbaneka, stesen minyak, pasar raya besar, perlombongan, hutan kayu bakau atau kayu balak, gudang serta kargo di pelabuhan.

“Selain memberi peluang kepada PATI untuk bekerja dalam sektor itu, ia turut memberi kemudahan kepada majikan dengan mengurangkan tekanan kepada mereka bagi mencari pekerja asing,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum itu, beliau mengadakan pertemuan dengan 22 wakil industri dan persatuan berkaitan pengurusan pekerja asing di Kementerian Dalam Negeri.

Nur Jazlan berkata, dua subsektor perkhidmatan masih tidak diberi kelonggaran berkenaan iaitu barang lusuh dan pengendalian kargo di lapangan terbang kerana ia membabitkan faktor keselamatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, PATI yang tampil kepada pihak berkuasa negara ini untuk mendapatkan pengampunan akan hanya dikenakan kompaun RM300 berserta pas istimewa RM100 bagi membolehkan mereka kembali ke negara asal tanpa dikenakan pendakwaan.

“Keistimewaan ini diberikan kerana keprihatinan kerajaan memandangkan lebaran bakal tiba…jadi, mereka yang mahu pulang ke negara asal perlu tampil ke hadapan untuk diberi pengampunan,” katanya.

Mengenai operasi Jabatan Imigresen sehingga 29 Mei lepas, Nur Jazlan berkata, ia telah menahan 25,350 PATI dan 529 majikan selain 34 majikan didakwa di mahkamah setakat 30 April lepas.

Selain itu, program penggajian dan penempatan semula PATI telah mendaftarkan 111,410 orang, katanya sambil berharap jumlah itu terus meningkat sebelum ia tamat pada 30 Jun ini.

“Kita tidak mahu majikan melengahkan pendaftaran pekerja PATI kerana kita akan terus mengadakan operasi bagi mengesan PATI… jangan sampai kita dah tangkap, baru nak mendaftar,” katanya.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.