Vivian ke tirai besi kerana catatan ‘bak kut teh’

Vivian ke tirai besi kerana catatan ‘bak kut teh’

Hakim berkata, babi adalah haram dan tertuduh sepatutnya fikir mengenai sensitiviti awam sebelum memuat naik catatan itu.

alvin-tan_vivian_law_bar_600
KUALA LUMPUR: Blogger kontroversi, Vivian Lee May Ling dijatuhkan hukuman penjara enam bulan selepas didapati bersalah memuat naik catatan dan gambar ‘bak kut teh’ ke Facebook ketika bulan Ramadan tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Abdul Rashid Daud menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melangkaui keraguan munasabah.

“Tertuduh didapati bersalah di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan dan dijatuhkan hukuman penjara enam bulan bermula hari ini,” katanya.

Tambahnya, tindakan Vivian itu adalah kesalahan serius kerana ia menyentuh isu sensitif umat Islam.

“Babi adalah haram. Tertuduh sepatutnya fikir mengenai sensitiviti awam sebelum memuat naik catatan itu,” katanya.

Hakim membenarkan pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan Vivian di Mahkamah Tinggi.

Dia dibebaskan dengan jaminan RM20,000 dan dua penjamin.

Terdahulu, peguam Vivian, Chong Joo Tian merayu mahkamah meringankan hukuman ke atas anak guamnya kerana “dia telah menyesali perbuatan itu dan memadamkan catatan itu selain turut membuat permohonan maaf melalui Facebook dan YouTube.”

“Lagipun kesalahannya tidak ganas. Ia hanyalah satu kesalahan dari segi ekspresi,” katanya.

Joo Tian berkata, walaupun orang ramai berang dengan catatan terbabit, namun tiada huru-hara yang tercetus selepas itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin membalas hujah pihak pembelaan dengan mengatakan kesalahan Vivian telah “melukakan” rakyat.

“Peguamnya kata tiada huru-hara berlaku selepas catatan Facebook itu dimuat naik. Hakikatnya catatan itu telah melukakan hati rakyat termasuk agama lain,” katanya.

Tambahnya, catatan ‘bak kut teh’ itu dilakukan ketika umat Islam menyambut bulan Ramadan yang suci.

“Adakah dia dan Alvin Tan cuba mencetuskan rusuhan kaum?” soal Wan Shaharuddin yang turut memaklumkan kepada wartawan bahawa pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan ke atas Vivian.

Vivian dan bekas teman lelakinya, Alvin Tan Jye Yee didakwa menyiarkan gambar-gambar mempersendakan umat Islam ketika mereka menikmati bak kut teh yang disertakan keterangan ‘Selamat Berbuka Puasa (with Bak Kut Teh…fragrant, delicious and appetising)’ dan mengandungi logo halal di Facebook mereka.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama pada jam 9 pagi 12 Julai 2013.

Pada Februari tahun lalu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara menggugurkan pertuduhan ke atas Alvin dan Vivian.

Bagaimanapun, Mahkamah Sesyen pada Mac tahun lalu mengarahkan kedua-duanya dibicarakan meskipun tanpa kehadiran Alvin.

Pada Januari 2016, Penolong Pengarah di Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Akmal Hamdy Baharudin dilaporkan memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa SKMM mengesyaki Alvin melarikan diri ke Amerika Syarikat bagi mengelak perbicaraan kes itu berdasarkan laporan PDRM.

Sehubungan itu, SKMM memohon Interpol mengeluarkan ‘Notis Merah’ bagi mengesan dan membolehkan Alvin ditangkap, sekiranya dikesan memasuki mana-mana negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.