Vivian bukan bekas teman wanita saya, kata Alvin Tan

Vivian bukan bekas teman wanita saya, kata Alvin Tan

"Tolonglah, dia bukan bekas teman wanita saya! Bekas teman wanita saya orang Singapura," katanya di Facebook.

vivian-1

PETALING JAYA:
Walaupun sentiasa aktif di laman Facebooknya, Alvin Tan nampaknya seperti tidak peduli dengan nasib yang menimpa bekas pasangannya Vivian Lee yang dihukum penjara enam bulan hari ini.

Penulis blog kontroversi itu seolah-olah enggan mengulas panjang perkara itu apabila beberapa pengguna Facebook mengongsikan laporan berita tersebut di laman Facebooknya.

Dalam satu komen, beliau hanya menulis ‘#SorryNotSorry’.

Malah beliau tidak mengaku bahawa Vivian pernah menjadi teman wanitanya apabila seorang lagi pengguna Facebook bertanya sama ada beliau tahu ‘bekas teman wanitanya Vivian dijatuhkan hukuman penjara enam bulan?’.

“Tolonglah, dia bukan bekas teman wanita saya! Bekas teman wanita saya orang Singapura,” balasnya.

Dalam satu ‘posting’ beliau berhubung bagaimana ‘seorang lelaki dominan dapat membuatkan ‘wanitanya’ patuh’, seorang pengguna Facebook mengongsikan pautan berita Vivian diiringi kenyataan, “Bukan, inilah caranya.”

Alvin kemudian membalas komen tersebut dengan berkata, “Ha Ha Ha, kelakar…”

Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman tersebut selepas Vivian didapati bersalah di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan ekoran memuatnaik ucapan dan gambar ‘bak kut teh’ di Facebook ketika bulan Ramadan tiga tahun lalu.

Namun Hakim Abdul Rashid Daud membenarkan hukuman tersebut ditangguhkan sementara menunggu rayuan Vivian di Mahkamah Tinggi.

Beliau kemudian dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin.

Alvin yang turut didakwa dengan dakwaan yang sama sebelum ini melarikan diri ke Amerika Syarikat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.