‘Move on’ isu bak kut teh, fokus ekonomi rakyat, Ahli Parlimen diberitahu

‘Move on’ isu bak kut teh, fokus ekonomi rakyat, Ahli Parlimen diberitahu

Ketua sayap Bersekutu Bersatu Chong Fat Full berkata wujud salah faham mengenai istilah bak kut teh sehingga menimbulkan polemik dan pertikaian.

Chong Fat Full dan Oh Tong Keong menggesa semua wakil rakyat termasuk rakan mereka dari Perikatan Nasional (PN) move on dari isu bak kut teh.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Bersatu menggesa semua Ahli Parlimen berhenti daripada terus berdebat isu bak kut teh, merujuk perbahasan di Dewan Rakyat semalam yang menyaksikan beberapa wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) terus mempersoal pengiktirafannya sebagai makanan warisan negara.

Menurut Ketua sayap Bersekutu Bersatu Chong Fat Full, wujud salah faham di kalangan pihak tertentu mengenai istilah bak kut teh sehingga menjadi polemik dan mewujudkan pertikaian dibangkitkan segelintir pihak.

“Kita perlu ‘move on’ dan terus pandang ke depan. Bukan sahaja PN tetapi buat seluruh Ahli Parlimen,” katanya kepada FMT sambil menambah semua pihak perlu menerima hakikat Malaysia sebagai negara mempunyai masyarakat majmuk.

Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong turut senada dengan bekas Adun Pemanis itu dan menegaskan semua wakil rakyat perlu memberi tumpuan lebih kepada isu ekonomi dalam kalangan rakyat.

“Banyak orang tak tahu istilah ‘bak’ dalam bak kut teh..ada kambing dan lembu juga. Tak perlu bazir masa untuk bincang isu sekecil ini.

“Mereka sepatutnya lebih fokus kepada usaha membantu rakyat khususnya B40 dan golongan miskin. Sekarang apa pun naik harga, lebih-lebih lagi dengan kenaikan cukai perkhidmatan,” katanya.

Semalam, persidangan Dewan Rakyat sekali lagi dihangatkan dengan isu bak kut teh pada sesi penggulungan perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing.

Tiong berkata mengiktiraf bak kut teh sebagai makanan warisan negara tiada kaitan dengan bangsa atau agama, selain meminta semua pihak termasuk Ahli Parlimen menghormati perbezaan budaya dan agama di Malaysia.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang bagaimanapun mencelah untuk menyanggah kenyataan Tiong yang mendorongnya mengemukakan tangkap layar satu artikel daripada laman berita PAS pada 2018 menunjukkan Biro Perpaduan Nasionalnya menghidangkan bak kut teh halal dalam beberapa PRK enam tahun lalu.

Pada sidang media selepas itu, Salamiah Nor (PN-Temerloh) mendakwa hidangan disediakan PAS itu tidak sama seperti hidangan diiktiraf sebagai warisan negara yang didakwanya tidak halal, manakala Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) mempertikaikan sama ada kerajaan mengikuti prosedur sebelum meluluskan.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) pula mempersoalkan sama ada negeri seperti Kelantan, Kedah dan Perlis bersetuju dengan pengiktirafan itu selaras dengan Akta Warisan Kebangsaan.

Sementara itu, Awang Hashim (PN-Pendang) berkata sama ada bak kut teh diiktiraf itu halal atau sebaliknya, ia harus dirujuk kepada hab halal untuk persijilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.