Datuk Dr Leong Yong Kong yang dipetik Oriental Daily hari ini menegaskan keputusan itu akan kekal sehingga isu RUU persendirian mengenai hudud ada perkembangan baru.
Bagaimanapun tegas ADUN Gurun itu, beliau tidak akan meletak jawatan sebagai EXCO kerana tidak bersalah dalam perkara itu.
Ditanya sama ada jawatan EXCO beliau akan dibatalkan, Timbalan Pengerusi MCA Kedah itu menyerahkan perkara berkenaan kepada Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah untuk ditentukan.
Sementara itu, FMT gagal menghubungi Yong Kong.
RUU itu pada awalnya disenaraikan sebagai agenda terakhir yang akan dibahaskan dalam sesi Dewan Rakyat semalam sehingga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said mengusulkan ia dipercepatkan supaya sempat dibentangkan dalam sidang semalam.
Usul itu kemudiannya disokong Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Sekalipun telah menerima lampu hijau daripada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kemudiannya memohon pembentangan RUU itu ditangguhkan sehingga sidang Parlimen berikutnya pada Oktober nanti.
Dalam pada itu, Tiong Lai yang dipetik China Press semalam berkata, parti itu langsung tidak tahu Hadi akan membentangkan RUU persendirian mengenai hudud di Parlimen semalam.
Sehubungan itu, beliau berpendapat ia mungkin adalah hasil perbincangan antara UMNO serta PAS dan tindakan membenarkan parti Islam itu membentangkan RUU telah melanggar semangat BN.
Jelasnya, MCA akan menyuarakan bantahan parti itu kepada BN melalui saluran dalaman.