Usul pinda Akta 355 ditangguh bantu wakil rakyat bersedia

Usul pinda Akta 355 ditangguh bantu wakil rakyat bersedia

PAS yakin usul rang undang-undang persendirian akan disokong semua wakil rakyat beragama Islam

hadi awang

KUALA LUMPUR:
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengambil keputusan mendadak untuk menangguhkan usul Rang Undang-Undang (RUU) persendirian meminta Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 kerana kesuntukan masa.

Bercakap kepada pemberita di ruang legar Parlimen petang tadi, Hadi berkata keputusan untuk menangguhkan pembentangan RUU itu pada sidang Parlimen akan datang bertujuan untuk memberikan masa kepada wakil-wakil rakyat membuat persediaan untuk perbahasan.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan. Mereka mengizinkan ia (RUU) dibentangkan, itu langkah pertama, kita akan tengok langkah seterusnya.

“Ia (penangguhan) supaya semua wakil rakyat diberi masa dan peluang untuk perbahasan.”

Usul Hadi yang dibangkitkan dalam Peraturan Tetap Dewan Rakyat hari ini bertujuan memperluaskan bidang kuasa mahkamah Syariah, seraya membuka laluan kepada perlaksanaan hudud di Kelantan.

Perjuangan PAS memperkenalkan hudud di Malaysia dihambat kontroversi terutama kerana ia ditentang oleh ramai pihak yang membantah hukuman keras yang akan diperkenalkan untuk membanteras jenayah.

Pertelagahan berkenaan hudud turut memainkan peranan dalam pembubaran Pakatan Rakyat dan DAP, yang hari ini membantah usaha membentangkan RUU itu sekali lagi.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz yakin RUU itu akan mendapat sokongan daripada semua wakil-wakil rakyat beragama Islam apabila ia dibawa ke peringkat pengundian.

“Kami yakin apabila negara ini makin dekat kepada Islam, keamanan terjamin kepada orang Islam dan lain-lain.

“Bagi saya mereka yang menentang sebenarnya tidak memahami undang-undang Islam.”

Beliau juga berkata usaha berterusan PAS mendesak perlaksanaan undang-undang itu tidak akan menjejaskan ikatan dengan PKR.

“Saya yakin PKR akan sokong, tetapi saya belum dengar apa-apa lagi daripada pimpinan tertinggi parti itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.