RUU hudud didahulukan, tetapi Hadi mohon tangguh

RUU hudud didahulukan, tetapi Hadi mohon tangguh

Khalid Samad menyifatkan tindakan BN mendahulukan pembentangan RUU itu sebagai pelik.

hadi-hudud

KUALA LUMPUR:
Kekeliruan timbul di Parlimen hari ini apabila pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Ahli Persendirian mengenai hudud untuk meminda Akta 355 Perlembagaan Persekutuan yang dibawakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang didahulukan tanpa dijangka.

RUU itu pada awalnya disenaraikan sebagai agenda terakhir yang akan dibahaskan dalam sesi Dewan Rakyat hari ini sehingga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said mengusulkan ia dipercepatkan supaya sempat dibentangkan dalam sidang hari ini.

Usul itu kemudiannya disokong Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Sekalipun telah menerima lampu hijau daripada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Hadi kemudiannya memohon pembentangan RUU itu ditangguhkan sehingga sidang Parlimen berikutnya pada Oktober nanti.

Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun tidak memberi sebarang alasan untuk penangguhan itu.

Hadi pernah mencadangkan RUU itu dibentang di Dewan Rakyat pada 7 April dan 17 Jun tahun lalu, namun ia tidak dibahaskan.

RUU persendirian itu bertujuan meminda undang-undang Persekutuan, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, bagi membuka jalan kepada pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan dan negeri-negeri lain.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad menyifatkan tindakan BN mendahulukan pembentangan RUU itu sebagai pelik.

“Saya tak kata ia adalah salah, tetapi ia amat pelik mereka mengutamakan rang undang-undang itu berbanding rang undang-undang kerajaan. Ada sesetengah soalan perlu ditanya dan ini perlu diteiti,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Ditanya jika AMANAH menyokong rang undang-undang itu, Khalid menegaskan ia perlu dianalisa terlebih dahulu.

“Sebarang rang undang-undang, jika ia mendatangkan manfaat kami sokongnya. Ia perlu dianalisa terlebih dahulu, saya tidak boleh beritahu anda terus sama ada kami sokongan atau tidak.

“Jika ia mendatangkan manfaat, demi kebaikan bersama kami sokongnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.