Penyelaras Biro Orang Asli Parti Sosialis Malaysia (PSM) Suresh Kumar berkata, penduduk bersama-sama Biro Orang Asli PSM juga akan mendirikan khemah di kawasan tersebut untuk memastikan kerja-kerja penolakan tanah yang bermula sejak seminggu lalu tidak lagi diteruskan.
“Lawatan kami menunjukkan hutan seluas kira-kira 3 ekar sedang ditolak untuk projek yang tidak diketahui. Perbincangan dengan kontraktor untuk berhenti bekerja sehingga perkara ini diselesaikan tidak berhasil,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau memaklumkan PSM bersama-sama Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) telah menghantar memorandum kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob untuk mendesak menghentikan segera pembersihan hutan dan tidak memberikan permit pembukaan hutan yang baru, tetapi menerima jawapan yang tidak memuaskan.
Beliau mendakwa jawapan balas daripada Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar menggunakan tahap kesihatan Ahmad Yakob sebagai alasan.
“Jangan berdolak-dalik seolah-olah Kerajaan Kelantan tidak mempunyai wakil lain yang dapat membuat keputusan dalam hal ini.
“Segala penerokaan hutan baru di Lojing dihentikan segera sehingga isu tanah komunal ini selesai,” katanya lagi.
Beliau juga berkata surat jawapan tersebut langsung tidak menjawab tujuh tuntutan Orang Asli, antaranya tanah yang diluluskan sebagai tanah Orang Asli harus dipegang oleh mereka sendiri di bawah geran komunal, pembekuan kontrak baru yang melibatkan tanah yang telah dipohon Orang Asli sehingga isu ini selesai serta bayaran royalti oleh syarikat di atas tanah Orang Asli dibahagikan antara kerajaan negeri dan penduduk.
