Penolong pengurus direman 2 hari akibat kutuk TMJ

Penolong pengurus direman 2 hari akibat kutuk TMJ

Lelaki itu ditahan susulan satu laporan polis yang dibuat kira-kira jam 10 pagi Isnin lalu berhubung mesej jelik dalam Twitter untuk menghina dan menyakitkan hati TMJ.

Datuk-Wan-Ahmad-Najmuddin-Mohd

JOHOR BAHRU:
Seorang penolong pengurus syarikat insurans yang ditahan semalam selepas dituduh memuat naik komen berunsur penghinaan terhadap Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam laman sosial baru-baru ini, direman dua hari bermula hari ini.

Menurut laporan Bernama, suspek ditahan di tempat kerjanya di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur kira-kira jam 10.50 pagi semalam dan polis turut merampas seunit telefon bimbit serta dua kad sim.

Suspek menggunakan akaun Twitter ‘Keluang Man’ itu dituduh mengeluarkan komen tersebut sebagai reaksi terhadap gambar manipulasi grafik yang memaparkan TMJ sedang menikmati hidangan seekor gajah tertera perkataan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) dalam laman Twitter Johor Southern Tigers.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan lelaki itu ditahan semalam susulan satu laporan polis yang dibuat kira-kira jam 10 pagi Isnin lalu berhubung penghantaran mesej jelik dalam Twitter untuk menghina dan menyakitkan hati TMJ.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan laman sosial untuk menghantar mesej jelik yang akan menyusahkan dan menyakiti orang.

Semalam, FMT melaporkan Muhammad Masyhur Abdullah yang berasal dari Temerloh dan merupakan penyokong bola sepak Pahang ditahan polis di ibu negara sebelum dibawa ke dibawa Ibu Pejabat Polis Johor Bahru selepas dituduh mengutuk pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sebelum dia ditahan, beberapa kumpulan Facebook mendesak laporan polis dibuat terhadap Masyhur dengan menyebarkan gambar yang cuba mengaitkan Masyhur kepada satu twit dan gambar ubah suai TMJ sedang menikmati hidangan gajah.

Gambar makan gajah itu menjadi viral selepas JDT menewaskan pasukan Pahang 6-0 dalam perlawanan Liga Super hujung minggu lalu dan TMJ dilaporkan berkata gambar makan gajah itu sekadar ‘suka-suka’ dan ‘sedikit perang psikologi’.

Namun bagi Masyhur, dia berdepan dengan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekiranya didapati bersalah.

FMT difahamkan nasib yang menimpa Masyhur mendapat perhatian badan hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan menjadi perbualan di Twitter.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.