Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, parti yang baru sahaja ditubuhkan itu harus membuktikan kemampuan bahawa ia layak menggantikan PAS dalam gabungan parti politik pembangkang.
“Ianya sering disebut, AMANAH pengganti PAS dan mengambil kedudukan dalam PH (Pakatan Harapan) seperti yang pernah diambil PAS dalam PR (Pakatan Rakyat). Itu sekadar dakwaan dan tuntutan semata. Janganlah pula AMANAH menjadi seperti PAS yang mendakwa ini dan menuntut itu,” katanya.
Menulis di blog, Ahli Parlimen Shah Alam itu juga menyatakan PRK ini memberikan peluang untuk AMANAH memperolehi kedudukan di hati rakyat.
“Buktikan perjuangannya ada tempat dan sokongan di hati rakyat. Buktikan AMANAH mampu menggantikan PAS. Dan sekiranya ia dibuktikan, tiada lagi alasan untuk mana-mana pihak melayani kerenah ‘ke sana sini’ PAS,” jelas beliau lagi.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Shah Alam itu juga menyatakan, PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar ini juga akan menjadi ujian buat kedudukan tidak menentu PAS.
“Selepas PRK ini PAS terpaksa membuat keputusan, kerana keadaan aneh dan janggal mereka tidak boleh berterusan selamanya.
“Perhubungan songsang seperti ini mesti dimuktamadkan. Apakah sebenarnya pendirian PAS? Adakah mereka bersama pembangkang yang ingin menjatuhkan kerajaan BN?
“Atau bersendirian dengan tujuan mendapat kerusi yang cukup untuk menjadi penasihat BN seperti dakwaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa PRN negeri Sarawak atau berhajat mencipta Blok ke 3 yang terdiri dari pihak yang hanya sanggup dipimpin PAS?” soalnya.
