
Menurut laporan Malay Mail Online, projek itu dipercayai akan dilaksanakan sebuah syarikat dikenali sebagai PJD Link Holdings Sdn Bhd, yang pakar dalam kerja awal pembinaan jalan, lebuh raya, jambatan dan terowong.
Syarikat berkenaan mengedarkan risalah mempromosikan projek itu kepada penduduk Petaling Jaya awal minggu ini.
Menurut risalah itu, PJD akan bermula dari persimpangan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan merentasi perumahan di Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Petaling Jaya, Taman Datuk Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja dan Bandar Kinrara.
Ia akan berakhir di persimpangan Bukit Jalil sebelum menyambungkan pengguna jalan raya kepada lebuh raya baharu yang dicadangkan itu. Lapan persimpangan akan dibina untuk menyokong pembangunan pesat sepanjang jajaran itu meliputi Bandar Utama, Petaling Jaya, Puchong dan Bandar Kinrara.
Bagaimanapun, jajaran untuk lebuh raya itu masih belum diputuskan, menurut sumber berkenaan yang turut menambah syarikat terbabit pada masa ini menjalankan kaji selidik pemasaran untuk mendapatkan maklum balas penduduk dan pihak berkepentingan, menurut laporan itu.
Pejabat syarikat itu di Dataran Prima yang nampaknya berkongsi alamat dengan salah satu syarikat utama di sebalik rancangan Kidex, Emrail Sdn Bhd dikenal pasti oleh kumpulan pelobi anti Kidex, Say No to Kidex (SNTK).
“Pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 14 Selve Sugumaran dan saya pergi ke alamat yang tercetak di risalah berkenaan dan alamat PJD Link Holding membawa kami kepada Emrail. Kami jumpa dengan pasukan komunikasi korporat Emrail,” kata ahli jawatankuasa SNTK Mak Khuin Weng dipetik sebagai berkata kepada Malay Mail Online.
“Maklumatnya terhad, tetapi sah ada cadangan untuk menjalankan projek itu. Jurucakap komunikasi korporat Emrail minta kami menulis surat kepada mereka untuk mengetahui mengenai PJD Link.”
Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Emrail Hari Narayanan menafikan pembabitan syarikatnya dengan PJD Link Holdings.
“Saya tidak tahu, tapi kami tidak terlibat dalam mana-mana projek lebuh raya. Kidex, ya, tetapi projek itu sudah tidak ada, jadi kami tidak terlibat,” katanya kepada Malay Mail Online.
Ahli Majlis Petaling Jaya Lee Suet Sen memberi amaran kepada PJD Link Holdings jangan mengedarkan risalah mengenai cadangan lebuh raya itu kepada penduduk.
“Sebarang cadangan tanpa kelulusan daripada kerajaan negeri dan MBPJ tidak sepatutnya disebarkan kepada penduduk PJ. Ini tidak beretika dan tidak profesional kerana mereka perlu mengikut proses ditetapkan,” katanya.
Lee berkata kerajaan negeri atau MBPJ tidak menerima sebarang cadangan untuk pembinaan lebuh raya baharu di kawasan itu.