Manila belum lulus permohonan ekstradisi pembunuh Bernad

Manila belum lulus permohonan ekstradisi pembunuh Bernad

Terpulang kepada Manila sama ada mahu menerima atau menolak permohonan ekstradisi yang dibuat pada Disember 2015, memandangkan kedua-dua negara tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian ekstradisi.

zahid-hamidi-filipina

PETALING JAYA:
Kerajaan Filipina belum membuat keputusan berhubung permohonan Putrajaya untuk mengekstradisi dua suspek yang disyaki memancung rakyat Malaysia, Bernard Then ke negara ini.

Dalam satu jawapan bertulis di Parlimen, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut berkata, ia adalah hak mutlak Manila sama ada mahu menerima atau menolak permohonan ekstradisi yang dibuat pada Disember 2015, memandangkan kedua-dua negara tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian ekstradisi.

“Buat masa ini, kerajaan Filipina belum memberi sebarang maklum balas rasmi berhubung permohonan ekstradisi itu tetapi kami akan terus memantau keadaan itu dengan bantuan Kementerian Luar,” katanya yang dipetik Malay Mail Online.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian sebagai menjawab soalan Wong Tien Fatt (DAP-Sandakan) yang ingin tahu kenapa Malaysia gagal mengekstradisi pejuang Abu Sayyaf, Khadafi Muktadil dan Saddam Jailani yang dipercayai memenggal Bernard selepas menculiknya.

Tien Fatt juga mahu tahu langkah yang telah diambil kerajaan untuk mengekstradisi kedua-dua suspek itu.

Khadafi bersama kembarnya, Mindas dipercayai terbabit dalam penculikan Bernard dan Thien Nyuk Fun yang merupakan pengurus Restoran Makanan Laut Ocean King di Sandakan, Sabah pada Mei 2015.

Nyuk Fun dibebaskan pada 8 November tahun lalu manakala Bernard pula dibunuh selepas rundingan untuk wang tebusan gagal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.