Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata majikan sering melepaskan tanggungjawab menjaga kebajikan pekerja pada bahu ejen mereka.
“Jumlah pekerja asing dari pelbagai negara yang mahu datang ke Malaysia makin berkurangan. Ini kerana majikan Malaysia tidak melayan mereka dengan baik.
“Jumlah pekerja asing daripada Nepal, Filipina dan Indonesia semakin berkurangan kerana mereka kini boleh mencari kerja yang memberikan layanan yang lebih baik di tempat lain.
“Majikan tidak mahu bertanggungjawab keatas kebajikan pekerja-pekerja asing,” katanya menjawab soalan Anuar Abd Manap (BN-Sekijang).
Anuar meminta Kementerian Dalam Negeri supaya menjelaskan kemajuan pengambilan semula pekerja asing dan nisbah pekerja asing kepada pekerja tempatan.
Menurut Nur Jazlan, nisbah berbeza mengikut sektor dan kerajaan menetapkan sasaran 20% pekerja asing dalam tenaga kerja.
“Masalah yang berbangkit adalah majikan cenderung bergantung kepada pekerja asing termasuk di sektor-sektor berteknologi tinggi. Mereka tidak mahu menatar (upgrade) proses dan cara menjalankan perniagaan.”
Februari lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penggantungan pengambilan pekerja asing termasuk 1.5 juta warga Bangladesh yang disediakan Dhaka.
Beliau berkata penggantungan berkuatkuasa sehingga Putrajaya yakin keperluan sebenar tenaga kerja di pelbagai sektor.
Bagaimanapun, pada 12 Mei, beliau mengumumkan empat sektor dikecualikan daripada keputusan itu iaitu pembinaan, perusahaan, perladangan dan perabot.