Guan Eng tak pernah bersyukur dengan bantuan pusat

Guan Eng tak pernah bersyukur dengan bantuan pusat

Rosnah berkata, kerajaan pusat tidak pernah menganaktirikan negeri yang dipimpin pembangkang kerana peruntukan pembangunan tetap disediakan kepada negeri-negeri terbabit.

 

Rosnah-Abdul-Rashid-Shirlin
KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak pernah bersyukur dengan bantuan yang diberikan kerajaan pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk membangunkan negeri itu.

Bidasan itu dibuat Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin sebagai menjawab tuduhan Guan Eng yang mendakwa kerajaan pusat tidak memberi bantuan sekaligus menafikan kerajaan pusat kononnya tidak memberi kerjasama dan menyusahkan kerajaan negeri untuk melaksanakan pembangunan.

Beliau juga menegaskan kerajaan pusat tidak pernah menganaktirikan negeri yang dipimpin pembangkang kerana peruntukan pembangunan tetap disediakan kepada negeri-negeri terbabit.

“Saya sedikit terkilan kerana beliau (Guan Eng) ketua menteri yang tidak bersyukur dengan bantuan dan sokongan yang diberikan oleh kerajaan pusat selama ini.

“Saya juga terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan ketua menteri itu di mana beliau mengatakan mereka bukan sahaja susah berurusan dengan kerajaan pusat malah kerajaan pusat juga tidak membantu. Saya ingin tekankan di sini, banyak projek termasuk pengurangan trafik telah diluluskan oleh kerajaan pusat kepada Pulau Pinang.

“Kita tidak pernah anak tirikan Pulau Pinang. Di kementerian saya sendiri, pernah dalam setahun kementerian luluskan hampir RM1 bilion untuk sistem penyuraian trafik termasuk projek-projek kementerian sendiri.

“Kita juga tidak pernah menyusahkan malah sentiasa terbuka dan membantu tanpa mengira negeri itu ditadbir oleh pembangkang,” katanya selepas merasmikan pembukaan ASEAN Premier Mechanical and Electrical Engineering Show 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Sehubungan itu, Rosnah berharap Guan Eng akan bercakap benar dan tidak berbohong dengan melemparkan pelbagai tuduhan terhadap kerajaan pusat.

Guan Eng sebelum ini mencabar kerajaan pusat meluluskan permohonan membina jambatan ketiga Pulau Pinang, berikutan perdebatan terhadap rancangan membina sebuah terowong dasar laut.

Malah, beliau mendakwa kurangnya kerjasama daripada kerajaan pusat adalah punca pembangunan di negeri itu terbantut seperti pembinaan terowong dan mereka juga gagal menunaikan janji membina transit aliran ringan (LRT) di Pulau Pinang.

Terbaru, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihaknya akan menilai permohonan membina jambatan ketiga Pulau Pinang berdasarkan merit, kos jangka panjang dan faedah kepada rakyat sama dengan prosedur mana-mana permohonan atau cadangan bagi meluluskan sesebuah projek pembinaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.