Cukai pendapatan niaga dalam talian ikut niaga konvensional

Cukai pendapatan niaga dalam talian ikut niaga konvensional

Cukai pendapatan ke atas perniagaan dalam talian bukan suatu perkara baharu.

LHDN
PUTRAJAYA: Pelaksanaan cukai pendapatan perniagaan dalam talian dilayan sama seperti cukai pendapatan perniagaan konvensional, menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dalam kenyataan hari ini, LHDN berkata menurut Seksyen 4 Akta Cukai pendapatan 1967, pendapatan suatu perniagaan layak dikenakan cukai pendapatan setelah mengambil kira semua perbelanjaan yang layak dibenarkan dalam perniagaan dan pelepasan cukai yang layak dituntut oleh peniaga tersebut.

“Bagi perniagaan dalam talian yang dijalankan oleh individu, cukai pendapatan mereka akan mengikut kadar cukai pendapatan individu bermula dari kosong peratus sehingga 28 peratus (mulai Tahun Taksiran 2016).

“Manakala bagi perniagaan dalam talian oleh syarikat, kadar cukai pendapatan yang akan dikenakan adalah antara 19 peratus dan 24 peratus,” katanya.

Oleh itu, katanya jelas bahawa cukai pendapatan ke atas perniagaan dalam talian bukan suatu perkara baharu, iaitu ia merupakan jenis cukai pendapatan yang sama dikenakan ke atas para peniaga konvensional.

LHDN turut mengambil inisiatif menerbitkan satu garis panduan teknikal berhubung layanan cukai pendapatan ke atas perniagaan elektronik (e-Dagang) bertajuk ‘Garis Panduan Percukaian Perdagangan Elektronik’ pada tahun 2013.
Garis panduan dan risalah tersebut boleh dimuat turun di lawan sesawang, www.hasil.gov.my, katanya.

– Bernama

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.