Mukhriz yang juga ADUN Ayer Hitam berbuat demikian di laman Facebook miliknya di samping mendakwa UMNO cawangan terbabit turut mengusulkan supaya pemilihan parti UMNO tidak ditangguh dan dilaksana tahun ini.
“Mungkin ada lagi cawangan-cawangan yang buat usul yang sama tapi tidak melaporkannya. Saya alu-alukan kalau ada sesiapa yang hendak maklumkan mengenai cawangan-cawangan yang tidak tersenarai.
“Banyak lagi cawangan yang merancang untuk buat usul yang sama tapi diugut dan ditekan untuk membatalkan hasrat itu. Ada juga yang bermesyuarat tanpa quorum yang cukup tapi dianggap cukup,” katanya.
Mukhriz dalam masa yang sama turut mendakwa, akan ada pihak-pihak tertentu yang akan menafikan bahawa cawangan-cawangan yang tersenarai itu membuat usul sedemikian.
“Atau mereka melesapkan atau meminda minit mesyuarat cawangan tersebut dalam laporan di peringkat UMNO bahagian. Memang itupun yang kami jangka akan mereka lakukan,” katanya.
Munurutnya, belum pernah dalam sejarah UMNO ada usul seperti itu diluluskan dalam jumlah yang banyak oleh cawangan parti itu.
Menerusi jumlah yang disenaraikan di Facebook miliknya, kawasan yang diwakili oleh Mukhriz di Jerlun paling banyak yang membuat usul undi tidak percaya iaitu sebanyak 29 cawangan dan diikuti kawasan Kubang Pasu sebanyak 11 cawangan.