Menurut laporan China Press, Wan Azizah membacakan surat sepanjang lapan muka surat itu dalam mesyuarat tertutup Biro Politik PKR pada 10 Mei lalu.
Difahamkan, seorang pemimpin PKR bertindak mendedahkan isi kandungan surat itu ketika berada di Kedah dan dia kemudiannya turut memberitahu wartawan portal berita mengenai surat berkenaan.
Sumber itu berkata, sesetengah pemimpin parti itu menafikan kewujudan surat berkenaan sebelum ini bagi mengelakkan Wan Azizah disiasat Kementerian Dalam Negeri.
Tambah sumber itu lagi, pendedahan surat itu akan menyebabkan pihak berkuasa memantau lebih ketat pertemuan Anwar dengan peguam dan ahli keluarganya.
Difahamkan, ramai pemimpin PKR tidak puas hati dengan tindakan pembocor rahsia itu dan mereka bercadang mengemukakan usul dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin terbabit.
Bagaimanapun, sehingga kini mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR belum diadakan.
Kelmarin, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dilaporkan sebagai berkata, Akta Penjara 1995 jelas menyatakan tindakan menyeludup atau cuba menyeludup barang larangan masuk atau keluar dari penjara adalah satu kesalahan.
Akta Penjara memperuntukkan barang larangan dibawa masuk atau keluar adalah dadah, wang atau arak dan termasuk juga alat atau artikel seperti ditetapkan komisioner jeneral dari semasa ke semasa.
“Sepatutnya kena ada siasatan, tetapi surat sudah pun keluar…Jabatan Penjara perlu berhati-hati selepas ini,” kata Nur Jazlan.
