Penyelidik lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, aktiviti pembalakan haram itu dikesan berdasarkan penemuan beberapa longgokan kayu balak yang tidak bertanda khas menunjukkan tiada permit sah daripada kerajaan selain dibiarkan begitu sahaja.
Beliau berkata, pihaknya juga tidak menemui papan tanda yang memaparkan notis lesen kegiatan pembalakan dilakukan mana-mana pihak dan percaya ia beroperasi sejak dua minggu lalu berdasarkan keadaan kolam.
“Kami menjalankan rondaan di sekitar kawasan hutan simpan Pondok Tanjung dan Larut serta kawasan rizab kolam takungan Bukit Merah. Kami terkejut apabila melihat banyak peninggalan kesan aktiviti pembalakan di kawasan itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.
Meor Razak berkata, berdasarkan keadaan kayu balak yang ditemui, pihaknya bimbang kayu-kayan itu dipindahkan pada waktu malam untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
“Modus operandi mereka kebiasaannya memotong pendek kayu balak itu sepanjang dua meter, sebelum dialihkan ke dalam lori berkanvas untuk dipindahkan pada waktu malam.
“SAM yakin aktiviti pemindahan kayu balak ini berlaku berdasarkan keadaan jalan di Kampung Selamat yang mengalami kerosakan teruk walaupun baru sahaja dibaiki,” katanya.
Sehubungan itu, SAM menggesa Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pejabat Daerah dan Tanah Kerian memberi perhatian serius di samping mengambil tindakan segera bagi memastikan aktiviti pembalakan haram itu dihentikan serta-merta.
“SAM berharap kayu-kayu itu dapat disita oleh agensi kerajaan negeri yang bertanggungjawab manakala JPS perlu meletakkan papan tanda khas bagi melarang pihak yang tidak bertanggungjawab daripada menceroboh keseluruhan kawasan rizab Kolam Bukit Merah.
“Kami juga berharap tindakan lebih tegas diambil oleh agensi kerajaan berkaitan dalam memastikan aktiviti pembalakan haram tidak dijalankan secara berleluasa di kawasan rizab Kolam Bukit Merah pada masa hadapan,” katanya.
– BERNAMA
