Dua beranak ditahan bawa wang RM2.4 juta

Dua beranak ditahan bawa wang RM2.4 juta

Wang tunai itu dalam bentuk 48,000 keping not RM50 ditemui tersimpan di dalam dua kotak di bahagian belakang SUV jenis Audi Q7.

Aksem_money_600
KANGAR: Agensi Keselamatan Sempadan (Aksem) menahan dua beranak bersama wang tunai RM2.4 juta dalam sebuah kenderaan SUV, disyaki terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram di Kilometer 24, Jalan Ulu Pauh-Padang Besar dekat sini semalam.

Anak dan bapa masing-masing berusia 19 dan 54 tahun itu ditahan pada 6.30 petang, dan mendakwa mereka ahli perniagaan yang dalam perjalanan membawa wang itu ke Pulau Pinang.

Mereka bagaimanapun gagal mengemukakan sebarang dokumen berkenaan wang itu.

Utusan Malaysia melaporkan semua wang tunai terdiri daripada 48,000 keping not RM50 itu ditemui tersimpan di dalam dua kotak di bahagian belakang SUV jenis Audi Q7 itu.

Aksem turut merampas kenderaan tersebut bernilai RM400,000 serta dua telefon bimbit.

Komander Aksem negeri, Deputi Superintenden Syed Basri Syed Ali mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram 2001 dan Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

Sementara itu, Utusan Malaysia memetik sumber sebagai berkata kedua-dua ahli perniagaan terbabit dipercayai terlibat dalam kegiatan mengurup wang tunai secara haram di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Katanya, pihak berkuasa juga tidak menolak kemungkinan mereka terlibat dalam perniagaan haram lain di Padang Besar, Thailand.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.