Belum jumpa bukti kewujudan Hang Tuah – Nazri

Belum jumpa bukti kewujudan Hang Tuah – Nazri

Kisah Hang Tuah sebati dalam masyarakat Melayu dan menjadi Warisan Kebudayaan Tidak Ketara melalui tradisi lisan, pantun, pepatah dan sebagainya.

Hang-Tuah
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mengesahkan bukti arkeologi yang mengaitkan kewujudan Laksamana Hang Tuah masih belum ditemui pakar.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kajian arkeologi yang dijalankan Jabatan Warisan Negara hanya menemui artifak yang boleh dikaitkan dengan kewujudan Kota Melaka.

“Kajian selanjutnya mengenai sejarah Melaka sentiasa mendapat perhatian jabatan ini dan akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab pertanyaan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) berhubung kewujudan Laksamana Hang Tuah pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Nazri berkata Perpustakaan Negara turut menjalankan usaha penyelidikan atas sumber dokumen tempatan seperti manuskrip Melayu dan dokumen luar bagi mencari bukti kebenaran kewujudan Hang Tuah.

“Dalam manuskrip Melayu, watak Hang Tuah tercatat dalam teks Hikayat Hang Tuah, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) dan juga Tuhfat al-Nafis.

Selain itu katanya watak Hang Tuah juga terdapat dalam dokumen luar negara seperti Rekidai Hoan dari Jepun, Vijayanagara (India), The Commentaries of The Great Alfonso de Albuquerque: Second Viceroy of India (Portugis) dan Dokumen Ming Shi (China).

Nazri berkata majoriti sarjana tempatan bersepakat bahawa Makam Hang Tuah terletak di Tanjung Keling, Melaka manakala keris Taming Sari kini menjadi sebahagian regalia Diraja Perak.

“Kisah berkaitan Hang Tuah sebati dalam masyarakat Melayu serta menjadi Warisan Kebudayaan Tidak Ketara melalui tradisi lisan, pantun, pepatah dan sebagainya,” katanya.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.