Dua ditahan gara-gara conteng bas

Dua ditahan gara-gara conteng bas

Kedua-dua suspek mengaku melakukan perbuatan khianat itu selepas ditahan hasil maklumat orang awam.

polis_bus_pahang_600

JOHOR BAHRU:
Polis menahan dua lelaki kerana dipercayai melakukan perbuatan vandalisme ke atas sebuah bas milik Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) menjelang perlawanan Liga Super antara Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) malam tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (JPJKK), ACP Abdul Wahib Musa berkata, kedua-dua suspek ditahan di Jalan Bukit Meldrum iaitu di belakang hotel penginapan skuad Pahang.

Bas yang membawa 30 anggota pasukan iaitu barisan kejurulatihan, pegawai dan pemain diletakan di perkarangan hotel itu sejak kelmarin.

Jelasnya, bas itu dipercayai disembur cat berwarna putih dengan perkataan ‘Hilang Ke???’ dan perbuatan itu dipercayai dilakukan antara jam 7 malam kelmarin dan 8.30 pagi semalam.

Justeru katanya, PBNP membuat laporan polis di Balai Polis Sentral pada jam 12.40 tengah hari semalam.

Abdul Wahib berkata, kedua-dua suspek mengaku melakukan perbuatan khianat itu selepas ditahan hasil maklumat orang awam.

“Kedua-dua suspek bukan penyokong JDT,” katanya kepada pemberita di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin semalam.

Suspek pertama berusia 21 tahun berasal dari Kelantan dan bekerja di kedai barangan logam, manakala suspek kedua berusia 35 tahun berasal dari Tampoi, Johor Bahru dan bekerja sendiri.

Beliau berkata, kejadian ini dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap keputusan Pahang yang dilihat semakin merosot dalam kempen Liga Super.

BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.