Musuh politik punca saya dipecat – Chee Heng

Musuh politik punca saya dipecat – Chee Heng

Tugasnya sebagai wakil rakyat tetap diteruskan walaupun pejabat pusat khidmatnya di Jenjarom sudah dikunci.

Loh-Chee-Heng-DAP

PETALING JAYA:
ADUN Teluk Datuk Loh Chee Heng menganggap dirinya dianiaya musuh sehingga menyebabkan beliau dipecat daripada DAP.

Chee Heng berkata, beliau akan mengemukakan rayuan kepada Ahli Jawatankuasa Pusat Parti DAP (CEC) selaras dengan Perlembagaan parti dalam masa terdekat.

Katanya, beliau juga akan bekerjasama dengan semua agensi penyiasatan dalam waktu interim ini bagi membersihkan namanya daripada tuduhan penyalahgunaan peruntukan negeri yang dibuat musuh politiknya.

“Saya dengan tegasnya menafikan sepenuhnya tuduhan penyalahgunaan peruntukan kawasan Teluk Datuk.

“Semua penggunaan peruntukan kawasan saya dipohon, diluluskan dan digunakan mengikut peraturan dan pekeliling ditetapkan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat dan selaras dengan kriteria kewangan negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, walaupun pusat khidmat rakyatnya di Jenjarom dikunci, namun ia tetap tidak menghalangnya untuk terus menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

“Izinkan saya merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada kawan-kawan, sahabat karib, penduduk di kawasan Teluk Datuk dan rakan seperjuangan saya dalam DAP.

“Mereka memberikan kata semangat dan keyakinan kepada saya untuk melalui detik sukar bagi saya dan keluarga sejak 16 tahun saya menceburi politik iaitu bermula tahun 2000 sebagai pembantu kepada ahli Parlimen Cheras,” katanya.

Pada 14 hb Mei 2016, Jawatankuasa Tatatertib Parti DAP mendapati Chee Heng bersalah atas tuduhan penyalahgunaan peruntukan negeri yang diberikan kepadanya sebagai ADUN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.