Keputusan menang-menang untuk UBER, Grab dan teksi

Keputusan menang-menang untuk UBER, Grab dan teksi

Penambahbaikan tersebut ialah polisi baharu mengawal selia dan memantau sistem tempahan teksi dalam talian melalui aplikasi pintar dan mudah alih.

nancy-shukri-2

KUALA LUMPUR:
Satu penyelesaian akan dibuat kerajaan supaya perkhidmatan teksi dan operasi UBER serta Grab mencapai situasi menang-menang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah menubuhkan satu makmal transformasi teksi bersama agensi-agensi kerajaan dan pihak berkepentingan sebagai inisiatif mencapai penyelesaian jangka panjang.

“Ekoran itu SPAD telah memutuskan beberapa cadangan penambahbaikan industri teksi secara menyeluruh. Kini ia sedang diperhalusi,” kata Nancy dalam satu jawapan bertulis di Parlimen, lapor Astro Awani.

Antara penambahbaikan tersebut ialah polisi baharu mengawal selia dan memantau sistem tempahan teksi dalam talian melalui aplikasi pintar dan mudah alih.

Syarat dan piawaian juga dijangka diperkenalkan supaya semua penyedia aplikasi ini dapat menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada pengguna selain memanfaatkan pemandu.

Beliau membalas soalan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun yang ingin tahu tindakan dan cadangan kerajaan untuk menyelesaikan pertikaian antara pihak pemandu teksi dan pihak UBER dan Grab.

Terdahulu, pemandu dan pengusaha teksi merungut tidak berpuas hati dengan perkhidmatan pemandu kereta UBER dan Grab di Malaysia yang dilihat mengganggu pendapatan mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri menyampaikan rasa prihatin terhadap masalah dan rungutan namun akui pelbagai faktor yang perlu pertimbangkan dalam hal ini seperti elemen inovasi, persaingan dan sebagainya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.