Nelayan Malaysia pentingkan diri enggan selamatkan mangsa hanyut

Nelayan Malaysia pentingkan diri enggan selamatkan mangsa hanyut

Isteri Tommy Lam berkata, setiba di Vietnam, nelayan-nelayan terbabit memberi minuman serta makanan, termasuk sarang burung kepada empat mangsa yang kelaparan.

hanyut

PETALING JAYA:
Seorang daripada empat mangsa yang hilang selama 10 hari selepas botnya karam di perairan Kudat awal bulan ini mendakwa nelayan Malaysia yang melalui tempat kejadian langsung tidak mempedulikan mereka.

Akhbar Hong Kong, Apple Daily yang memetik isteri Tommy Lam Wai Yin sebagai berkata, nelayan Malaysia terlalu mementingkan diri kerana enggan menyelamatkan mangsa yang hanyut di tengah lautan.

Jelasnya, beliau akan memberi ganjaran kepada nelayan Vietnam terbabit yang menyelamatkan suaminya dan tiga mangsa lain.

Menurutnya, setiba di Vietnam, nelayan-nelayan terbabit memberi minuman serta makanan, termasuk sarang burung kepada empat mangsa yang kelaparan.

Tommy bersama pasangan suami isteri dari Sepanyol, David Hernandez Gasulla dan Martha Miguel; serta seorang wanita tempatan yang juga pekerja resort milik Tommy, Armella Ali Hassan dilaporkan hilang pada 2 Mei lalu ketika dalam perjalanan dari Pulau Balambangan.

Mereka sepatutnya tiba di Tanjung Simpang Mengayau pada jam 8 malam hari sama.

Pada 8 Mei lalu, salah satu enjin bot mangsa dijumpai tersangkut pada pukat nelayan dan sebuah lagi enjin bot itu terjatuh semula ke dalam laut ketika pukat ditarik naik nelayan.

Mereka kemudiannya ditemui selamat selepas diselamat sebuah bot milik nelayan Vietnam di perairan Pulau Amboyna Cay berhampiran sempadan Malaysia-Vietnam, kira-kira 240 batu nautika dari perairan Kudat kira-kira jam 8.30 pagi Khamis lalu.

Keempat-empat mangsa itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira jam 9.15 pagi Jumaat lalu dengan menaiki pesawat Bombardier milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.