Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata tindakan itu bagi memastikan rakyat sedar mengenai simptom Zika dan segera membuat pemeriksaan sekiranya mengalami simptom berkenaan.
“Setiap hari beratus ribu orang ulang-alik (dari Johor) ke Singapura. Kawalan kesihatan di pintu masuk susah diamalkan. Mereka perlu lebih berhati-hati dan ambil tahu simptom Zika,” katanya kepada pemberita di tapak Pasar Tani Taman Yayasan di sini sempena Kembara Mahkota Johor.
Beliau diminta mengulas laporan satu kes jangkitan virus Zika yang dilaporkan di Singapura pada Jumaat.
Menurutnya Singapura juga sudah mengambil langkah berjaga-jaga mengenai kes berkenaan.
“Sebarang maklumat lanjut kita hanya dapat ketahui dalam masa dua hingga tiga minggu lagi untuk memastikan sama ada pesakit itu ada berhubung dengan orang lain sebelum dimasukkan ke hospital,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai memakai baju lengan panjang dan menggunakan repelan serangga untuk melindungi diri daripada digigit nyamuk.
Semalam, Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham berkata tanpa pencegahan awal, Malaysia berisiko mendapat kejadian kes import jika ada rakyat negara ini melawat negara yang berlaku jangkitan virus berkenaan.
Sebanyak 472 sampel diuji Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan Institut Penyelidikan Perubatan, namun jangkitan virus itu tidak dikesan di negara ini.
-BERNAMA