
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata buat masa ini polis masih menjalankan siasatan dan pihak yang bersalah akan dihadapkan di mahkamah.
“Kita siasat dulu. Kereta itu bukan dia (Safee) yang bawa, tetapi orang lain yang guna. Jadi orang itu sudah ditangkap, biar polis siasat dulu.
“Usah kita terus buat andaian pemain bola sepak yang punya pistol. Biar kita jalankan siasatan terperinci.
“Sesiapa saja yang bertanggungjawab terhadap senjata api itu akan dihadapkan ke mahkamah,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Balai Polis Bukit Aman.
Sebelum ini, Berita Harian Online melaporkan sepucuk pistol bersama 30 butir peluru ditemui di dalam kereta Safee.
Ketika kejadian, kenderaan Safee yang dipandu seorang pemilik kedai aksesori kenderaan pacuan empat roda ditahan polis trafik ketika melalui sekatan jalan raya di susur keluar Kempas, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira jam 12 tengah hari Ahad.
Hasil pemeriksaan polis menemui sepucuk pistol disimpan dalam sebuah beg kuning di tempat duduk belakang Ford Ranger itu.
Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd mengesahkan suspek lelaki berusia 34 tahun dalam kes itu tiada kaitan dengan Safee.
Beliau berkata, Safee menghantar kenderaannya ke kedai aksesori suspek untuk diubah suai minggu lalu dan bercadang mengambil kenderaannya selepas perlawanan akhir Piala FA kelmarin.
Sementara itu, Khalid turut mengulangi kenyataannya berhubung apa yang berlaku dengan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini hanyalah salah faham.
Khalid meminta isu beliau dengan Tunku Ismail tidak dibangkitkan lagi.
“Tak payah la saya nak ulas. Memang silap faham dan tidak ada lebih dari itu.
“Memang semua orang nak dengar ulasan itu. Namun Tunku Ismail tidak ada buat apa-apa komen selepas saya bercakap ia sedikit silap faham,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Balai Polis Bukit Aman.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lebih lanjut berhubung isu kenyataan Tunku Ismail yang tidak senang dengan tindakan Cawangan Khas Bukit Aman memantau pergerakan dan ‘mencuri’ dengar perbualan telefon baginda.