Menurut laporan China Press, selain kes sindiket pemerdagangan manusia bersekongkol dengan pegawai Imigresen untuk menyeludup pendatang asing ke negara lain, kini ada pihak yang cuba menyeludup senjata api tiruan melalui perkhidmatan bagasi daftar masuk.
Pada jam 3.10 petang Isnin lalu, dua polis bantuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang bertugas di pusat imbasan bagasi mengesan dua bagasi daftar masuk untuk penerbangan ke Kota Kinabalu, Sabah yang penuh dengan 12 laras senjata api tiruan, termasuk senjata renjat, pistol dan senapang tiruan.
Mengikut maklumat yang diperolehi akhbar itu, bagasi terbabit dihantar dari Stesen KL Sentral ke KLIA pada jam 10 pagi 9 Mei lalu dan pemiik dua bagasi itu adalah seorang warga Filipina, namun lelaki itu tidak menaiki penerbangan berkenaan.
Sehubungan itu, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan ini adalah taktik terbaru penjenayah untuk menyeludup senjata tiruan menggunakan perkhidmatan bagasi daftar masuk.
Bagaimanapun, polis juga tidak menolak kemungkinan suspek adalah pengusaha atau peminat paintball, kerana senjata api tiruan itu mirip senjata yang digunakan dalam sukan lasak itu.
Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Abdul Aziz Ali yang dipetik akhbar berbahasa Cina itu berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 dan mereka giat mengesan warga asing terbabit.
Senjata tiruan itu seakan-akan senjata api sebenar dan kebanyakannya adalah buatan Australia serta Taiwan, manakala sepucuk lagi pistol itu adalah buatan Itali.
Difahamkan, jika diisi dengan peluru asli, ia mampu mencederakan orang malah meragut nyawa mangsa.
Mengikut laporan akhbar itu, Malaysia mengharamkan kemasukan senjata api tiruan sedemikian, kerana penjenayah di sesetengah negara lain akan menggunakan senjata api tiruan untuk melakukan jenayah.
