Mukhriz: Biar anak jantan Tun M cabar Nazri

Mukhriz: Biar anak jantan Tun M cabar Nazri

Bekas MB Kedah berkata menteri pelancongan dan kebudayaan itu “hilang akal” kerana mahu bertumbuk dengan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

mukhriiz_nazri-aziz_mahathir_600

PETALING JAYA:
Berdepan dengan saya dulu sebelum bertumbuk dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Itu cabaran dibuat bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir kepada ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Nazri Aziz, yang lantang mengkritik bapanya.

“Saya sebagai anak jantan Tun Mahathir akan berdepan dengan dia (Nazri). Kalau nak bertumbuk, jumpa kita dulu, bukan senang-senang,” katanya dipetik daripada ismaweb.net.

Mukhriz berkata demikian ketika mengulas kenyataan menteri pelancongan dan kebudayaan yang sedia bertumbuk dengan bekas perdana menteri itu.

“Agaknya dah hilang akal dah hilang pertimbangan, orang tak waras dikatakan, tapi berpangkat menteri.. beginilah menteri-menteri kita sekarang,” katanya ketika berucap pada program Selamatkan Malaysia di Felda LBJ, malam tadi.

Nazri dilaporkan mengeluarkan kenyataan itu baru-baru ini ketika mengulas keputusan kerajaan untuk menarik semula perkhidmatan polis pengiring untuk Mahathir.

Dalam isu berasingan, Mukhriz melahirkan kebimbangannya dengan golongan muda yang menjauhi UMNO.

“Golongan muda sekarang ini enggan lagi mendengar nama UMNO, bukan disebabkan pemimpin atasannya saja, tetapi secara keseluruhannya mereka mengaitkan masalah dalaman negara sekarang ini secara langsung kerana UMNO.

“Yang banyak dipersalahkan mengenai banyak masalah dihadapi rakyat ketika ini dikatakan disebabkan UMNO. Ini menjadi masalah kepada parti UMNO.

“Sebagai parti politik kita tidak boleh hidup tanpa sokongan daripada rakyat. Tidak boleh sesuatu parti politik itu terus wujud kalau tidak ada sokongan rakyat,” katanya.

Mukhriz berkata apa yang penting ialah rakyat menerima perjuangan UMNO, kemudian diterjemahkan sokongan itu dalam bentuk undi pada pilihan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.