AMANAH nekad wakili PH dalam PRK

AMANAH nekad wakili PH dalam PRK

PH harus meletakkan calon yang tegas Najib sebagai Perdana Menteri selain itu juga tidak memberi ruang kepada calon-calon yang mesra Najib bertanding.

Mohd-Sany-Hamzan
PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (AMANAH) mahu bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P.093 Sungai Besar dan P.067 Kuala Kangsar mewakili Pakatan Harapan.

Bagi Ketua Pemuda AMANAH Nasional Sany Hamzan, parti yang baru berusian lapan bulan itu sudah benar-benar bersedia menguji kekuatan jenteranya di Malaysia Barat.

“Seluruh pimpinan Pakatan Harapan harus jujur berusaha mengangkat keutuhan gabungan ini. P.093 dan P.067 merupakan kawasan strategik bagi AMANAH sebagai parti Islam dalam Pakatan Harapan.

“Komposisi campuran penduduk dengan majoriti Melayu Islam sememangnya menjadi gelanggang ideal buat AMANAH meluaskan pengaruh Pakatan Harapan di kedua-dua Parlimen tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Dalam pada itu, Sany turut menjelaskan pihaknya menghormati PAS sebagai blok ketiga dan menyedari situasi bahawa parti Islam itu akan berperanan sebagai penasihat kerajaan yang memerintah.

Namun, pertembungan tersebut juga katanya bakal menguji dan menjadi kayu ukur gabungan politik mana yang lebih dipercayai rakyat.

“Bahkan rakyat umumnya telah sedia memaklumi bahawa PAS bukan sebahagian Pakatan Harapan dan jika berlaku tiga penjuru pun, anak muda boleh ‘membaca’ bahawa PAS bertindak sebagai entiti berasingan yang masuk bertanding demi kepentingan politik Blok Ketiga,” katanya.

Dia juga akui, PAS dan rakan-rakan koalisinya juga menunjukkan nekad bertanding di kerusi yang ditandingi Pakatan Harapan merujuk kepada senario yang berlaku dalam PRN Sarawak baru-baru ini.

Oleh yang demikian, Sany mahu PH meletakkan calon yang tegas menolak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri selain itu juga tidak memberi ruang kepada calon-calon yang mesra Najib bertanding.

“Penting untuk Pakatan Harapan mengambil kira ketegasan prinsip untuk menolak Najib Razak dan pada masa yang sama tidak memberi ruang calon-calon yang ‘mesra’ Najib Razak bertanding secara solo,” katanya lagi yang bagaimanapun tidak menamakan calon ‘mesra Najib’ itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.