Lima ‘sarang’ judi diserbu tapi tiada tangkapan

Lima ‘sarang’ judi diserbu tapi tiada tangkapan

Bagaimanapun pihak berkuasa berjaya merampas lebih 200 peralatan judi dengan nilai anggaran mencecah RM100,000

dbkl_judi_600

KUALA LUMPUR:
Lima ‘sarang’ judi diserbu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Siri 4 2016 sekitar Chow Kit di ibu kota pagi tadi.

Dalam serbuan bermula 11 pagi itu, 180 anggota DBKL dan polis berjaya merampas lebih 200 peralatan judi dengan nilai anggaran mencecah RM100,000.

Bagaimanapun, tiada tangkapan berlaku dalam serbuan hampir empat jam itu kerana kaki judi dan pemilik premis lebih awal menghidu kehadiran pihak berkuasa.

Penolong Pengarah Kanan Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Irwan Shafari Wahab berkata, serbuan keatas pusat perjudian yang sudah beroperasi sejak sekian lama ini dibuat berdasarkan kepada hasil risikan dan maklumat orang ramai.

Menurut Irwan, aktiviti perjudian seperti ini sukar dikesan kerana dalang mengunakan lesen cyber cafe untuk membuka premis judi haram.

“Hasil serbuan, kami telah menyita lima premis perjudian tanpa lesen dan berjaya merampas 101 monitor, 101 CPU termasuk 6 mesin perjudian anggaran kos dalam lingkungan RM70,000 hingga RM90,000.

“Dalam operasi ini juga kita telah mengeluarkan lebih daripada 10 kompaun yang membuka premis tanpa lesen.

“Tindakan diambil berikutan pelanggaran Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM50,000” katanya kepada pemberita.

Dalam operasi itu juga, DBKL turut menjalankan pemeriksaan keatas lebih 40 premis perniagaan perubatan dengan kerjasama Jabatan Farmasi Wilayah Persekutuan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Jabatan Kesihatan Malaysia.

Sejumlah ubat dengan nilai anggaran RM3000 telah disita kerana tidak mematuhi Akta Perubatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.