
Tokoh wartawan itu berkata Najib akan menggunakan apa jua cara bagi memastikan dua kerusi yang dimenangi BN pada PRU13 lalu dapat dikekalkan.
“Jadi kita sudah boleh bayangkan apa yang perdana menteri akan lakukan. Tidak ada beras, gandum, dedak, duit, kain batik, projek dan janji yang tidak akan beliau tabur untuk mengekalkan dua kerusi hidup mati itu,” tulisnya dalam posting di blognya, hari ini.
Kadir berkata kegagalan BN mempertahankan kerusi di dua kawasan berkenaan akan memberikan kesan buruk kepada perjalanan politik Najib sebagai presiden UMNO.
“Beliau akan lakukan apa saja untuk menang kerana kekalahan mempunyai implikasi sangat buruk terhadap kelangsungan (survival) beliau,” katanya.
Beliau berkata strategi itu pasti akan digunakan berdasarkan kepada corak kempen Najib di PRN Sarawak baru-baru ini yang menyaksikan BN berjaya memenangi 72 kerusi.
“Berpandukan PRN Sarawak, sungai wang nampaknya masih mengalir dan strategi ‘cash is king’ masih laku di kalangan pengundi luar bandar dan orang miskin,” katanya.
Mengulas lanjut, Kadir menyatakan sekiranya BN gagal mempertahankan kerusi di dua kawasan berkenaan, ia akan memberikan kesan buruk kepada perjalanan politik Najib sebagai Presiden UMNO.
SPR dijangka mengumumkan tarikh PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar esok. PRK di dua kawasan itu kosong susulan kematian dua penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sarawak, minggu lalu.