Dua serpihan hampir pasti milik MH370

Dua serpihan hampir pasti milik MH370

Kedua-dua serpihan yang dijumpai di Afrika Selatan dan Pulau Rodrigues hampir pasti daripada pesawat MH370.

Liow-Tiong-Lai_mh370_part_600

KUALA LUMPUR:
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan serpihan pesawat yang ditemui di Afrika Selatan dan Pulau Rodrigues hampir pasti bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370.

Beliau berkata pemeriksaan yang dijalankan pasukan pakar antarabangsa di Australia ke atas dua serpihan pesawat yang ditemui di Afrika Selatan dan Pulau Rodrigues merupakan bahagian enjin dengan logo Rolls-Royce serta sekeping panel dinding dalam kabin.

Hasil itu dirumuskan selepas Pasukan Penyiasatan Keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Annex 13 Malaysia selesai menjalankan penyiasatan ke atas dua serpihan pesawat berkenaan, lapor Malaysia Gazzette.

“Selepas pemeriksaan keseluruhan, ICAO Annex Malaysia merumuskan kedua-dua serpihan konsisten dengan panel yang ditemui pada pesawat Boeing 777 milik Malaysia Airlines,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia, Australia dan China terus komited untuk mencari pesawat malang itu.

Setakat ini, katanya kawasan pencarian meliputi lebih daripada 105,000 km persegi.

Serpihan itu sebelum ini dibawa ke makmal Biro Keselamatan Pengangkutan Australia untuk menjalani beberapa siri ujian bagi mengenal pasti apa yang berlaku kepada pesawat hilang itu.

Ia susulan penemuan bahagian sayap pesawat di kepulauan Reunion di Lautan Hindi tahun lalu, berhampiran Mauritius, yang disahkan daripada MH370.

Sejak penemuan itu, dua lagi serpihan yang ditemui kira-kira 220km jaraknya antara satu sama lain di Mozambique pada Disember 2015 dan Februari 2016 dihantar untuk pemeriksaan.

MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada radar ketika dalam perjalanan ke Beijing dari KLIA pada 8 Mac 2014.

Pesawat malang itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Berikutan kejadian itu, Malaysia melancarkan operasi SAR melibatkan pelbagai negara dan usaha itu berterusan hingga kini.top

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.