Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa menempelak sikap FAM dan FMLLP yang menurutnya tidak ambil tahu dengan masalah kewangan yang dihadapi pasukan yang tidak mampu membayar tunggakan gaji pemain.
“Saya alu-alukan tindakan serius yang bakal diambil oleh badan induk itu sekiranya ia difikirkan wajar.
“FAM dan FMLLP lupa pasukan bola sepak adalah pihak berkepentingan yang bertanggungjawab melonjakkan industri bola sepak tanah air.
“Menjatuhkan hukuman bukanlah jalan penyelesaian bijak,” katanya ketika sidang media di Menara Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Dalam pada itu, Annuar mencadangkan agar badan induk seperti FAM dan FMLLP supaya mendengar permasalahan pasukan-pasukan yang gagal membayar tunggakan gaji pemain, bukannya terus pergi ke media dan memutuskan hukuman.
Katanya, tindakan FAM dan FMLPP itu dilihat sangat tidak berhemah.
“Jangan sampai saya buka mulut seperti TMJ, cukuplah beliau seorang mengkritik kepincangan FAM.
“Mereka tidak pernah mahu mendengar masalah yang kita hadapi tapi sebaliknya memilih untuk menyalak di media, itu tidak adil buat kami,” katanya.
Annuar juga mengingatkan bahawa pasukan dan kelab negeri adalah penyumbang kewangan dan imej bola sepak tanah air.
“Kalau tanpa kami, FAM dan FMLLP tidak bermakna apa-apa. Persepsi buruk itu harus ditukar.
“Kita perlu sama-sama membangunkan arena bola sepak Malaysia bukannya saling menjatuhkan dan bercakaran,” katanya.