Presiden Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao berkata sekiranya Teresa Kok gagal membuktikan dakwaannya itu, dia akan membuat laporan polis kerana memfitnah.
“Saya cabar Teresa Kok untuk buktikan tuduhan kononnya saya dibayar oleh UMNO untuk kacau Teresa dalam tempoh 48 jam. Jika enggan saya akan buat laporan polis terhadap Teresa Kok,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini Teresa mendakwa Ramesh Rao dan Tony Tan terbabit dibayar UMNO untuk memfitnah beliau sehingga sanggup berbohong dengan mambuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Ini kes lama mereka (Ramesh dan Tony bekas ahli DAP). Semua ini dibayar oleh UMNO untuk kacau saya dan pemimpin DAP. Sebenarnya tidak ada kes langsung seperti tuduhan yang dibuat dan mereka bohong dengan membuat laporan kepada SPRM, malah akaun di pusat khidmat saya yang digunakan untuk PRU telah diaudit.
“Tetapi disebabkan laporan mereka, SPRM telah lakukan siasatan dan SPRM pernah datang untuk siasat dan kami sudah serah dokumen kepada SPRM untuk mereka semak dan pegawai SPRM sendiri tahu laporan yang dibuat (Ramesh dan Tony) hanyalah bohong dan ini bukan kali pertama mereka pergi ke SPRM untuk buat tuduhan palsu terhadap saya,” katanya kepada FMT hari ini.
Teresa berkata demikian selepas Ramesh dan Tony menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi mendesak campur tangan suruhanjaya itu berhubung kelewatan SPRM menyiasat tuduhan terhadap pemimpin DAP itu.