Husam, ADUN PAS belum lompat ke AMANAH – Wan Rahim

Husam, ADUN PAS belum lompat ke AMANAH – Wan Rahim

Sehingga kini belum ada lagi ADUN PAS yang akan menyertai AMANAH seperti mana khabar angin sebelum ini.

wan-rahim

PETALING JAYA:
AMANAH Kelantan masih menunggu pendirian rasmi bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa yang dipecat daripada parti, sama ada mahu menyertai parti serpihan PAS itu atau tidak.

Setakat ini juga, belum ada ADUN PAS yang mengesahkan akan menyertai parti itu seperti mana khabar angin yang tersebar sebelum ini.

Pengerusi AMANAH Kelantan Datuk Wan Rahim Wan Abdullah berkata pihaknya enggan membuat sebarang kenyataan lagi sehingga Husam membuat kenyataan selepas menerima surat rasmi pemecatan.

“Kita masih lagi menunggu kenyataan rasmi daripada Datuk Husam selepas beliau mendapat surat pemecatan.

“Masa pun panjang lagi dan segala kemungkinan boleh berlaku tetapi pada masa ini tidak ada ADUN PAS Kelantan menyertai AMANAH,” katanya kepada FMT.

Minggu lalu, Wan Rahim dilaporkan sebagai berkata beliau sedia melepaskan jawatannya untuk memberi laluan kepada Husam menerajui AMANAH Kelantan.

Katanya, AMANAH juga bakal mengumumkan 10 ADUN PAS yang akan menyertai parti itu, selepas Husam menerima surat rasmi pemecatannya daripada parti Islam itu dan ia bukanlah cakap kosong semata-mata.

Perkara itu bagaimanapun dinafikan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dengan menyifatkan ia sekadar propaganda pengerusi AMANAH Kelantan itu untuk mencetuskan kelam-kabut dalam PAS.

Penafian Amar turut disokong majoriti ADUN PAS Kelantan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.